Monday, November 18, 2024
HomeBREAKING NEWSBina semula negara perlu konsensus baru, kata Kit Siang

Bina semula negara perlu konsensus baru, kata Kit Siang

Lim Kit Siang menggesa orang Melayu tidak terpedaya dengan pembohongan disebarkan UMNO dan sekutunya yang partinya menentang orang Melayu, Islam serta kerabat diraja.

PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa parti politik tertentu memecahbelahkan masyarakat dengan isu perkauman dan agama menerusi kempen penipuan, fitnah dan berita palsu bersistematik untuk meracuni minda orang Melayu selepas pilihan raya umum ke-14.

Menyeru permulaan baru dalam proses pembinaan bangsa Malaysia, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, konsensus kebangsaan baru amat diperlukan bagi menjadikan Malaysia kembali hebat, bukannya sebagai “Venezuela atau Zimbabwe Asia.”

Katanya, perkembangan paling toksik yang disebarkan UMNO dan sekutunya semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah cuba membuatkan orang Melayu percaya hak, maruah dan masa depan mereka sedang diancam, melainkan jika UMNO kembali berkuasa.

“Ini kerana kononnya kerajaan PH hanyalah kerajaan DAP dan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad hanyalah pak turut DAP, dan perkara ini disertai pelbagai fitnah mengatakan DAP anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja, malah DAP itu kononnya komunis.

“Hasilnya, lanskap politik negara berubah, kini wujud politik Malaysia dan politik Melayu,” katanya dalam kenyataan.

“Sekiranya orang Melayu terpedaya dengan penipuan, fitnah dan berita palsu yang disebarkan UMNO ini, akhirnya seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban mahupun Orang Asli akan menjadi mangsa.”

Lim berkata, Malaysia hanya mampu menjadi negara hebat bertaraf dunia, jika rakyatnya mampu menggembeleng kedudukan uniknya sebagai pertemuan empat peradaban hebat dunia untuk membina sebuah negara bersatu padu, harmoni, demokratik, adil, makmur serta progresif.

Beliau berkata, jia dasar politik dan hegemoni Melayu berjaya dalam 50 tahun lalu untuk mengangkat taraf ekonomi kaum itu, orang Melayu hari ini tidak akan berada dalam keadaan miskin dan berasa tidak selamat seperti sekarang.

“Terdapat segolongan mereka yang tidak mahu wujudnya konsensus kebangsaan baru ini dan mereka cuba sedaya upaya mensabotaj usaha ini.

“Semasa saya berjumpa dengan Anwar Ibrahim pada Jumaat, saya memberikan jaminan kepada beliau, pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran ketua pembangkang. Tetapi saya berkata, pembangkang perlu mara ke depan dan arah baru untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dengan sebuah konsensus kebangsaan baru.”

Beliau menggesa pemimpin kerajaan menyahut seruan sekumpulan 25 orang Melayu yang terkenal dalam kalangan bekas penjawat awam kanan, hakim, duta dan ilmuan untuk bersuara melawan unsur ekstremisme dan tidak mahu bertoleransi yang semakin berleluasa.

“Malangnya, seruan daripada kumpulan ini enam tahun lalu tidak membawa kepada pembentukan konsensus kebangsaan baru,” katanya sambil menambah ia mesti ditetapkan semula untuk dijadikan asas dalam menjadikan Malaysia hebat semula.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments