SINGAPURA: Segelintir penduduk Singapura mempertikaikan sama ada perlu mengambil vaksin Covid-19 menjelang usaha kerajaannya memberikan suntikan, memandangkan kejayaan republik itu mengekang penularan wabak berkenaan setakat ini.
Di negara kota itu yang lazimnya melihat pematuhan tinggi terhadap pihak berkuasa, ada penduduknya yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesan sampingan yang mungkin dihadapi, sekalipun cuma sedikit saja.
Golongan ini berpendapat risiko kesan sampingan tidak berbaloi memandangkan kes harian negara itu hampir sifar, malah kadar kematian juga antara yang terendah di dunia.
“Keadaan Singapura agak baik,” kata Aishwarya Kris yang berusia 40-an dan tidak berminat disuntik vaksin itu.
“Saya tidak rasa suntikan vaksin akan membantu pun.”
Survei akhbar The Straits Times pada awal bulan ini mendapati 48% of responden berminat disuntik vaksin sebaik diluluskan, manakala 34% lagi mahu menunggu dulu enam hingga 12 bulan.
Bagaimanapun, kerajaan mahu melonjakkan semula ekonominya dengan bantuan vaksin berkenaan, kerana negara itu amat bergantung kepada pelancongan serta perdagangan. Antara sasarannya termasuk menjadi tuan rumah Forum Ekonomi Dunia tahun depan.
Bagi membuktikan vaksin itu selamat, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 68, berkata, beliau dan rakan sekerjanya akan menjadi penerima awal suntikan.
Vaksin itu akan diberikan secara sukarela dan percuma dengan keutamaan untuk pekerja kesihatan serta golongan berusia.
Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu tiba awal minggu ini dan Singapura menjangkakan bekalan mencukupi untuk kesemua 5.7 juta penduduknya menjelang suku ketiga 2021.
Ancaman pesakit yang tidak bergejala serta jangkitan yang tidak dikesan masih wujud di Singapura seterusnya mengetengahkan betapa pentingnya suntikan vaksin itu, kata pakar.
Ramai warga Singapura menyatakan kesediaan disuntik, bukan sekadar untuk mengelak dijangkiti tetapi dengan harapan ini akan membolehkan mereka mengembara semula. Tidak kurang juga yang menganggapnya satu kewajipan sivik.
“Saya keluar setiap hari untuk bekerja, jadi mengambil suntikan itu sekadar tindakan yang bertanggungjawab,” kata Jeff Tan, jurugambar berusia 39 tahun.
Singapura bertindak pantas selepas kes pertama virus itu dilaporkan, dan walaupun ada jangkitan puluhan ribu pekerja migran di dalam asrama, jumlah jangkitan kemudian berjaya diturunkan.
Secara umum, rakyat Singapura menyambut baik pemberian vaksin dengan hampir 90% kanak-kanak menerima suntikan utama, kata Hsu Li Yang di Jabatan Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Kebangsaan Singapura.
Namun wujud kebimbangan terhadap vaksin baharu yang menggunakan teknologi baharu tambahan pula proses pembangunan dan kelulusannya dilakukan begitu pantas. Katanya, penerimaan vaksin memang mengambil masa lebih lama.
Malah tiga jururawat yang enggan didedahkan identiti, turut mengakui kepada Reuters bahawa mereka tidak mahu disuntik vaksin berkenaan.
Pengawal selia ubatan Singapura berkata, kelulusan diberikan selepas Pfizer-BioNTech mengemukakan data yang dilihat membuktikan vaksin berkenaan mencapai tahap keselamatan, keberkesanan dan kualiti, dengan manfaatnya mengatasi risiko.
Vaksin Pfizer dikaitkan dengan beberapa kes alahan teruk selepas diberikan di UK dan AS. Namun setakat ini belum ada kesan jangka panjang serius dalam ujian klinikal.
John Han, pengurus jualan berkata beliau mahu menunggu sehingga 80% penduduk mengambil vaksin itu tanpa kesan sampingan.
“Jika ada pilihan, saya lebih cenderung tidak mengambilnya. Saya tidak kisah memakai pelitup muka, menjaga keselamatan diri, mengelak kawasan orang ramai,” kata Han, 40.