Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSBenar ahli perniagaan dari luar negara masuk, kata Najib

Benar ahli perniagaan dari luar negara masuk, kata Najib

Najib Razak berkata negara yang boleh diberi kelonggaran masuk ke negara ini seperti Singapura, China, Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, Vietnam dan Thailand.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyeru kerajaan memberi kelonggaran kepada ahli perniagaan yang sudah ditapis atau diberi vaksin dari negara berisiko rendah Covid-19 memasuki Malaysia.

Beliau berkata, jika ahli perniagaan luar negara tidak dibenar masuk dibimbangi mereka tidak akan melabur atau berniaga dengan negara ini.

“Jika tiada pelaburan asing dan peluang baru perdagangan antarabangsa terputus, maka ini akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan jumlah pekerjaan baru di Malaysia pada tahun-tahun mendatang,” katanya melalui Facebook.

Najib berkata, negara jiran Singapura sudah membenarkan pelawat dari Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, China dan Vietnam masuk dengan meminta pas khas tanpa kuarantin.

Katanya, pelawat dari negara dibenarkan itu ke Singapura cuma perlu memuatnaik aplikasi seperti MySejahtera serta menjalani ujian Covid-19 sebelum bertolak.

“Pada masa sama, beberapa negara juga sudah mula memberi vaksin kepada warga mereka,” katanya.

Beliau berkata, negara yang boleh diberi kelonggaran masuk ke negara ini seperti Singapura, China, Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, Vietnam dan Thailand.

Katanya, jumlah terkumpul kes baharu Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan mereka semalam bagi lapan negara terbabit cuma enam kes berbanding antara 1,800 hingga 2,200 kes di Malaysia.

“Sebenarnya, pelawat negara-negara itu lagi takut untuk datang ke Malaysia berbanding kebimbangan kita bahawa mereka akan bawa virus masuk.

“Pelawat negara-negara itu mungkin diperlukan untuk menjalani kuarantin setelah mereka pulang ke negara masing-masing tapi sekurang-kurangnya mereka tidak akan perlu menjalani dua kali kuarantin jika negara kita tidak lagi suruh mereka menjalani kuarantin mandatori 14 hari di sini,” katanya.

Najib berkata, negara ini sudah melonggarkan segala larangan rentas negeri ketika beberapa negeri masih mencatat ratusan kes baharu setiap hari.

“Jadi, kenapa kita masih mahu sekat ahli perniagaan atau pelawat (termasuk mereka yang telah diberi vaksin) dari negara yang tidak mencatat sebarang kes penularan tempatan,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments