Monday, December 30, 2024
HomeBREAKING NEWSBekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari masuk PPBM

Bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari masuk PPBM

Saiful Bukhari berkata politik wajar dilihat sebagai medium penyatuan, bukannya sebagai punca perpecahan.

PETALING JAYA: Bekas pembantu peribadi Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan, menyertai PPBM, yang menjadi wadah politik pertamanya.

Beliau, yang sebelum ini turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai calon bebas pada 2018 menentang ketua pembangkang itu, berkata PPBM selari dengan prinsip politiknya iaitu memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air.

Beliau turut menegaskan ia bukan disebabkan agenda peribadi.

“Alhamdulillah, permohonan keahlian saya diluluskan semalam, 6 Januari,” katanya dalam kenyataan. “Setelah 12 tahun berada dalam kancah politik negara dengan tidak berparti, pada hemat saya, sudah tiba masanya saya memilih satu wadah politik, menjadi ahli secara rasmi.”

Bagi Saiful, politik wajar dilihat sebagai medium penyatuan, bukannya sebagai punca perpecahan.

Katanya, walaupun berlainan parti dan ideologi politik, persahabatan antara rakannya akan tetap kekal bahkan ia wajib dijaga.

“Terima kasih pada sahabat, rakan, dan parti lain yang mengundang saya sebelum ini. Harap tidak berkecil hati. Tidak sertai parti yang diundang, tidak bermakna saya tidak berminat. Perjuangan kita tetap sama iaitu demi agama, bangsa, dan tanah air,” katanya.

Sebagai ahli baharu PPBM, Saiful berjanji memberikan taat setianya kepada parti dan pucuk pimpinan, serta turut mendukung matlamat dan perjuangan, dasar, peraturan, dan tata etika disiplin parti.

“Adalah lebih afdal bergerak secara berjemaah, dari bergerak secara solo. Banyak ilmu dan pengalaman boleh saya peroleh, serta berpeluang mencurah bakti pada masyarakat melalui aktiviti parti,” katanya.

Saiful menjadi watak utama dalam perbicaraan yang menyaksikan Anwar dipenjarakan lima tahun atas kesalahan liwat, apabila Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Ketua pembangkang itu kemudian dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments