Sunday, May 19, 2024
HomeBREAKING NEWSBekas MB Faizal tolak dakwaan Najib berkait penjualan ladang sawit milik Perak

Bekas MB Faizal tolak dakwaan Najib berkait penjualan ladang sawit milik Perak

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu menolak dakwaan Najib Razak berhubung penjualan sebuah ladang sawit seluas 15,000 hektar milik kerajaan Perak antara sebab UMNO menarik balik sokongan terhadapnya sebagai menteri besar.

Najib mendakwa penjualan PT Pinang Witmas Sejati (PWS) di Palembang, Indonesia kepada sebuah syarikat Singapura untuk 1/3 daripada nilainya antara punca Faizal gagal mendapat sokongan majoriti ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jumaat lalu.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa penjualan ladang itu dibuat menerusi rundingan terus tanpa tender dan mengulangi kenyataan bekas ADUN Slim, Mohd Khusairi Abdul Talib yang ladang itu bernilai RM1.03 bilion serta memberi keuntungan RM40 juta setiap tahun kepada kerajaan negeri sebelum pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, Faizal malam ini menolak dakwaan itu dengan berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mempelawa 11 syarikat tempatan dan asing membuat bidaan antara 15 Mei hingga 30 Sept 2019.

Katanya, antara syarikat itu ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Genting Plantations Bhd, United Plantations Bhd, Sime Darby Plantation Bhd serta syarikat Indonesia – PT Genting Plantation Nusantara dan PT Bio Nusantara Teknologi.

Beliau berkata, seorang penilai bebas memaklumkan tanah itu bernilai RM525 juta pada 2020. Penilai sama menilai ladang itu berharga RM500 juta pada 2018.

Berdasarkan data PPPNP, Faizal berkata, ladang itu menyumbang dividen antara RM5.5 juta dan RM32 juta pada dekad lalu, dengan yang tertinggi melebihi RM32 juta pada 2011.

Berhubung dakwaan ladang itu dijual kepada sebuah syarikat Singapura, katanya, PPPNP menandatangani satu perjanjian dengan Taiko Plantations Pte Ltd (Taiko), sebuah syarikat pelaburan KLK yang berpangkalan di Perak, pada April 2020.

Mengenai dakwaan berhubung rayuan Khusairi tidak menjual ladang itu kerana harga rendah minyak sawit, beliau berkata, cadangan menjual PT Pinang Witmas Sejati dibuat pada 2014 dan dibawa kepada kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.

Katanya, antara alasan penjualan ladang itu termasuk kos tinggi untuk penanaman semula dan ketidaktentuan dalam undang-undang serta dasar Indonesia.

Faizal meletak jawatan sebagai menteri besar selepas 48 ADUN tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya di DUN Perak Jumaat lalu dan satu lagi berkecuali berbanding 10 ADUN yang menyokongnya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments