Tuesday, September 24, 2024
HomeBREAKING NEWSAzmin ketuai jawatankuasa khas teliti kajian, syor ERC

Azmin ketuai jawatankuasa khas teliti kajian, syor ERC

Takiyuddin Hassan berkata, hasil kajian yang dimuatkan dalam laporan akhir ERC itu mengandungi 49 syor penambahbaikan menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti kajian menyeluruh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) selama dua tahun ke atas keberkesanan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Katanya, hasil penelitian itu kemudiannya akan didedahkan kepada umum, termasuk di Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa khas ini diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali dan beberapa menteri Kabinet lain.

“Bagi pihak kerajaan, saya percaya laporan ini akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat untuk tatapan Ahli Parlimen dan jika mempunyai keperluan, boleh dibahaskan secara langsung atau tidak langsung,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) adakah kerajaan akan mendedahkan laporan akhir ERC dan tindakan lanjut untuk mereformasi dan menambah baik sistem serta proses pilihan raya.

Takiyuddin berkata, hasil kajian yang dimuatkan dalam laporan akhir ERC itu mengandungi 49 syor penambahbaikan menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

Katanya, selain aspek perubahan kepada proses pilihan raya, ERC turut mencadangkan perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang melibatkan pembabitan pelbagai kementerian dan agensi.

“Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti satu persatu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap keboleh upayaan dan keutamaan pelaksanaannya.

“Kerajaan memerlukan masa membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas pelbagai agensi, khususnya badan berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Beliau berkata, ERC turut menyenaraikan pelan tindakan berfasa.

“Antaranya, agar diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor yang dikemukakan.”

ERC yang ditubuhkan pada Ogos 2018 menggariskan 15 agenda reformasi dalam kajiannya berhubung penambahbaikkan sistem dan undang-undang pilihan raya, termasuk kajian mengenai proses dan mekanisme bagi pemilih berdaftar Malaysia yang tinggal di luar negara.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments