Saturday, November 16, 2024
HomeBREAKING NEWSAwasi penjenayah “dibuang” ke Sabah, Sarawak, kata aktivis

Awasi penjenayah “dibuang” ke Sabah, Sarawak, kata aktivis

Peter John Jaban. (Gambar Facebook)

KUCHING: Seorang aktivis Sarawak menggesa polis menyemak semula kes penjenayah yang dihantar ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak mengikut undang-undang yang sudah dimansuhkan, iaitu Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri.

Peter John Jaban berkata, ramai yang dikenakan tindakan mengikut perundangan itu mungkin mengahwini wanita tempatan dan membina hidup baharu, namun masih boleh mencetuskan masalah jika tidak dipantau polis secara berterusan.

Katanya, tindakan menghantar penjenayah ke kawasan pedalaman memang satu kesilapan kerana ramai daripadanya sekadar “membuka operasi” di tempat baharu malah mempengaruhi penduduk setempat terutama golongan muda.

“Ini bererti masalah seperti gangsterisme, penyeludupan dan dadah bukannya dikekang, sebaliknya tersebar ke kawasan yang penduduknya sebenarnya selesa dengan kehidupan lebih sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ada antara mereka yang dihantar ke sini sebelum dua akta berkenaan dimansuhkan pada 2011 masih berada di sini,” katanya.

Kenyataannya itu susulan pergaduhan di Beaufort, Sabah, minggu lalu, yang mengakibatkan seorang lelaki terbunuh. Suspek utama yang dikaitkan dengan tujuh kes jenayah antara 2003 hingga 2004 dilaporkan berasal dari Semenanjung.

Suspek dilaporkan dipenjarakan selama setahun pada 2007, namun bukan lagi bawah pemantauan polis sejak 2008, selepas mengahwini seorang wanita Dusun tempatan dari Keningau dan pasangan itu kini mempunyai lima anak.

Suspek disyaki melarikan diri ke Sarawak selepas pergaduhan di Beaufort itu.

“Dalam kebanyakan kes seperti itu, perintah buang daerah atau buang negeri tidak diumumkan menyebabkan penduduk tidak tahu bahawa sebenarnya ada penjenayah yang mungkin berbahaya yang dipindahkan secara paksa ke penempatan mereka,” kata Peter.

“Adalah tidak bertanggungjawab jika polis tidak terus memantau suspek jenayah ini selepas akta berkenaan dimansuhkan,” katanya.

Beliau menggesa Bukit Aman terus memerhatikan pesalah yang dibuang negeri atau daerah ke Sabah dan Sarawak mengikut akta berkenaan malah masih menetap di situ.

Katanya, kerajaan negeri yang mempunyai kuasa imigresen sepenuhnya patut mengusir sesiapa yang menyebabkan masalah atau kekacauan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments