Friday, November 15, 2024
HomeBREAKING NEWSAsrama kontena sempit dihuni lebih 100 pekerja Bangladesh

Asrama kontena sempit dihuni lebih 100 pekerja Bangladesh

Kompleks kontena Jeram yang menempatkan lebih 100 pekerja asing.

PETALING JAYA: Sejumlah pekerja Bangladesh tinggal di sebuah kompleks kontena di tengah-tengah ladang kelapa sawit di Jeram, Selangor.

Seorang penduduk berkata, “lebih 100” orang tinggal di situ.

Kompleks itu mempunyai kira-kira 40 kontena pelbagai saiz.

Setiap kontena seluas 20 kaki itu menempatkan empat katil dua tingkat yang mampu memuatkan lapan orang, dengan hampir tiada ruang untuk pekerja menyimpan barang mereka. Mereka berkongsi bilik mandi dan dapur di belakang kompleks itu.

FMT difahamkan pekerja itu, yang semuanya warga Bangladesh, bekerja di dua kilang perabot berdekatan.

Setiap kontena berkeluasan 20 kaki itu mampu menempatkan empat katil dua tingkat dan hampir tiada ruang untuk meletak barang peribadi.

Seorang pekerja berkata: “Terdapat lebih 100 orang yang tinggal di sini. Saya sudah tinggal di sini selama 12 tahun sejak mula bekerja di kilang itu.

“Tinggal di sini baik-baik saja. Mudah memasak dan udara kampung segar. Kami mempunyai bekalan elektrik dan air serta kedai yang menjadi tempat kami membeli barang dapur hanya lima minit dari sini.”

Seorang lagi pekerja berkata, lebih 100 orang tinggal di situ ketika dia mula bekerja di kilang terbabit beberapa bulan lalu, tetapi ada yang sudah berpindah keluar.

Dapur kongsi di belakang kompleks kontena itu.

Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang dikuatkuasakan baru-baru ini menetapkan setiap pekerja perlu mempunyai ruang tidur atau peribadi tidak kurang daripada tiga meter persegi.

Kontena itu menempatkan lapan orang dalam ruang seluas 14.6m persegi.

Seorang pengurus syarikat memberitahu FMT, syarikat itu dalam proses memindahkan semua pekerja dari kontena itu tidak lama lagi.

Jalan melalui ladang kelapa sawit menuju ke kompleks kontena.

Katanya, ada banyak kilang lain di kawasan perumahan pekerja sedemikian dan menggesa FMT menyiasat dakwaannya.

Penemuan FMT menyusul dua hari selepas 321 pekerja asing di sebuah kilang perabot di Johor didapati tinggal di sebuah asrama diibaratkan “tin sardin”, menurut Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja, Zaini Yaacob.

Pada 3 Dis lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan memberitahu Dewan Rakyat, lebih 90% penginapan pekerja asing disediakan majikan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments