Friday, November 15, 2024
HomeBREAKING NEWSAPMM rampas dadah lebih RM105 juta

APMM rampas dadah lebih RM105 juta

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 2,118kg dadah dipercayai methamphetamine bernilai RM105.9 juta dan menahan seorang lelaki di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi berhampiran Teluk Kumbar, Rabu lepas.

Ketua Pengarah APMM Mohd Zubil Mat Som berkata rampasan dadah itu adalah yang terbesar dalam tempoh 13 tahun penubuhan agensi tersebut.

“Dadah terbabit dimuatkan di atas sebuah bot rekreasi, dipercayai diambil di perairan antarabangsa. Rampasan ini adalah hasil risikan dan pemantauan APMM,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata pasukan APMM mengesan bot tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Kendi pada 11.30 pagi sebelum diekori rapat oleh bot agensi berkenaan.

“Pihak APMM meminta pemandunya memberhentikan bot itu namun tidak diendahkan, malah suspek cuba meningkatkan kelajuan sebelum bertindak terjun ke laut selepas kira-kira 30 minit dikejar,” katanya, menambah suspek berusia 26 tahun tersebut berjaya ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot yang dipandu suspek menemukan 130 guni mengandungi 1,998 paket teh Cina yang sebenarnya mengandungi dadah, dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

Suspek yang diberkas itu berperanan mengambil dadah di perairan antarabangsa dengan bayaran RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap perjalanan.

“Siasatan kami mendapati lelaki yang tidak bekerja itu keluar dari Sungai Juru dengan sebuah bot lain dan menghala ke perairan antarabangsa sebelum menukar bot yang mengandungi dadah itu, manakala botnya dikemudi pihak lain iaitu rangkaian sindiket pengedaran dadah dipercayai dibawa balik ke negara jiran,” katanya.

Mohd Zubil berkata suspek juga mengaku itu adalah perjalanan ketiganya dengan kali pertama dan kedua masing-masing pada Oktober dan November, membabitkan pelbagai jenis dadah seberat 1,000kg.

Dadah ini dibawa masuk ke negara ini sebelum diagihkan semula kepada rangkaian sindiket termasuk diseludup ke Thailand berikutan harga di negara itu tiga kali ganda lebih mahal berbanding pasaran Malaysia, katanya.

“Modus operandi sindiket ialah membawa masuk dadah menggunakan jalan laut pada waktu siang kononnya untuk mengelak dikesan pihak APMM kerana mereka menyangka operasi serta rondaan kami hanya waktu malam.” kata beliau.

Menurutnya lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments