Saturday, December 28, 2024
HomeBREAKING NEWSAnwar dikelilingi golongan pembodek dengan budaya samseng, politik wang, kata Rafizi

Anwar dikelilingi golongan pembodek dengan budaya samseng, politik wang, kata Rafizi

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meggesa presiden parti, Anwar Ibrahim, supaya waspada terhadap golongan “pembodek” di keliling beliau yang membawa “budaya samseng dan politik menabur duit serta janji.”

Rafizi berkata beliau sudah memberikan peringatan itu kepada Anwar sebelum ini, namun membayangkan kumpulan “pembodek” itu masih belum disisihkan oleh Ketua Pembangkang itu.

“Saya jenis yang tak suka bercakap benda sama berulang-ulang. Kalau dah nasihat itu telah diberi dan nampaknya tidak berkesan, maka biarlah Anwar tanggung sendiri risiko menyimpan jenis-jenis opportunis di keliling beliau,” kata Rafizi dalam facebooknya.

Rafizi tidak menamakan sesiapa tetapi menegaskan Anwar perlu berhati-hati supaya pengkhianatan lalu ke atasnya oleh Azmin Ali tidak berulang.

“Ramai tahu dan sedar ada beberapa kerat yang mengelilingi Anwar adalah opportunis haprak yang membawa budaya berbahaya dalam parti. Mereka membawa budaya gangster dan politik wang menabur duit dan janji,” kata Rafizi dalam facebooknya.

“Anwar perlu pandai pilih orang kelilingnya yang menjadi penjaga tol ke pejabatnya. Dulu pilih Azmin, tengok apa yang jadi. Yang ada sekarang pun dua kali lima,” kata Rafizi.

Azmin, menjadi orang kanan Anwar untuk sekian lama tetapi akhirnya berpaling tadah dengan membawa keluar sejumlah Ahli Parlimen PKR untuk bergabung dengan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Rafizi berkata, individu yang kini “menghimpit” Anwar tidak berjuang membebaskan Anwar semasa beliau dipenjarakan, berbeza dengan pengorbanan pemimpin lain yang dipenjarakan.

“(Tetapi) bila (PKR dan Pakatan Harapan) dah menang tahun 2018, berhari-hari dia berkampung di depan Hospital Cheras untuk mula menempel. Tiba-tiba, menjadi pembela parti dan orang paling setia kepada Anwar Ibrahim, sedangkan tindak tanduk mereka boleh menjatuhkan parti dan Anwar,” katanya.

Rafizi berkata “puak pembodek” berkenaan kini mensasar untuk menjatuhkan pemimpin yang lantang bersuara seperti Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, demi keuntungan diri.

“Sekarang mereka mula pula sasarkan pimpinan seperti Akmal untuk diburukkan supaya mana-mana pimpinan yang boleh ada pandangan bebas dan kekuatan yang boleh mengancam mereka menjadi pembodek tegar; perlu disingkirkan dengan cara ini,” kata Rafizi.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang berhasrat menunggang parti demi kekayaan dan kedudukan peribadi supaya tidak mengacaunya.

“Kalau species ini banyak buat kacau, boleh saja saya kacau balik.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments