Friday, November 15, 2024
HomeBREAKING NEWSAliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa

Selepas seminggu kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri aliran trafik di kebanyakan lebuh raya masih lancar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiada kesesakan luar biasa di kebanyakan lebuh raya utama negara selepas seminggu kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata, pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik lancar sejak dua hari lepas dan perkara tersebut dijangka berterusan.

“Kita menjangkakan tiada kesesakan luar biasa di semua lebuh raya dan pemerhatian sejak dua hari lalu mendapati aliran trafik seperti biasa sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, anggotanya tetap berada dalam keadaan bersiap sedia dalam memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat 2.30 petang ini.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan seperti KM 42.3 hingga KM 41.0 hala barat (Bukit Tinggi-Genting Sempah) berikutan terdapat kerja pengalihan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Trafik perlahan dari PGA ke Pusat Bandar dan Puchong Perdana ke Puchong Intan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan lancar.

Pada 5 Disember lalu Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD), bermula Isnin lalu.

Polis juga tidak melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments