Friday, March 29, 2024
HomeBREAKING NEWSAktivis gesa kerajaan Sarawak tuntut autonomi berhubung kewarganegaraan

Aktivis gesa kerajaan Sarawak tuntut autonomi berhubung kewarganegaraan

Basar Arun, 80, bekas Border Scout Sarawak, adalah antara ramai penduduk pribumi yang terpaksa bergelut untuk hidup kerana tidak diiktiraf sebagai warganegara. (Gambar Agnes Padan)

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak pribumi yang berpangkalan di Sarawak menggesa kerajaan negeri supaya menuntut Putrajaya memberikan autonomi kepadanya dalam isu kewarganegaraan.

Peter John Jaban berkata Jabatan Pendaftaran Negara gagal memastikan ramai penduduk pribumi mendapat kewarganegaraan.

Bekas ketua Sarawak 4 Sarawakian itu mengulas nasib bekas Border Scout Sarawak berusia 80, Basar Arun, yang terpaksa hidup miskin bersama-sama keluarganya kerana tiada dokumen kewarganegaraan.

Beliau tidak layak mendapat bantuan kerajaan kerana beliau bukan warganegara, meskipun bukti menunjukkan beliau pernah berkhidmat sebagai Border Scout.

Peter John Jaban.

Peter berkata terdapat ramai individu seperti Arun di Sarawak dan masalahnya berkait dengan birokrasi dan kurang faham mengenai cabaran yang dihadapi penduduk pribumi untuk mendapatkan dokumen mereka.

“Inilah sebabnya kenapa kami rasa negeri mesti mempunyai kuasa untuk memutuskan hal itu. Ia tidak harus diputuskan oleh orang yang tidak berada di negeri ini,” katanya, dengan menambah bahawa isu sebegini menyuburkan lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan ramai orang Malaysia Timur.

Peter berkata, sekiranya kerajaan Sarawak diberi kuasa, ia boleh memulakan pendaftaran secara besar-besaran bagi memastikan semua rakyat Sarawak mendapat kewarganegaraan dan menikmati manfaat dan keistimewaan yang datang bersamanya.

“Apakah guna untuk kita bercakap besar bahawa kita mempunyai syarikat minyak dan gas tersendiri atau kita mahu syarikat telekomunikasi sendiri sedangkan rakyat tidak dapat menikmati manfaat asas kerana mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara walaupun dilahirkan dan dibesarkan di sini?”

Beliau berkata, GPS, yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, mesti menuntut supaya negeri itu diberikan hak dan kuasa berhubung kewarganegaraan.

Senator Adrian Lasimbang.

Senator Adrian Lasimbang berkata beliau mengetahui seorang Border Scout Sabah yang mengharungi nasib sama seperti Basar.

Lasimbang berkata ramai penduduk pribumi sebelum ini tidak memiliki sijil kelahiran atau dokumen. Mereka dilahirkan di banyak bahagian di Borneo sebelum sempadan ditetapkan.

Beliau berkata, sebahagian mereka dilahirkan di bahagian yang kini merupakan sebahagian daripada Indonesia, tetapi seumur hidup tinggal di Sabah.

Justeru katanya, apabila tiba masanya untuk memohon dokumen, mereka akan ditakrifkan sebagai orang yang tiada kewarganegaraan.

“Masalah ini bertambah buruk apabila mereka yang berada di Putrajaya tidak mengambil sebarang tindakan kerana gagal memahami masalah itu. Ia juga tidak membantu apabila isu ini dipolitikkan.”

Katanya, masalah ini hanya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai hasrat untuk menyelesaikannya.

Beliau menambah bahawa bekas ketua hakim negara Richard Malanjum sebelum ini melancarkan mahkamah bergerak sebagai usaha untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan yang dihadapi penduduk pribumi.

“Lebih banyak peruntukan harus diberikan bagi menyokong inisiatif ini supaya ia dapat diperkembangkan dan membantu lebih banyak individu yang terjejas.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments