Wednesday, November 20, 2024
HomeBREAKING NEWSAGC bantah pihak-pihak mencelah dalam tuntutan babit pengisytiharan darurat

AGC bantah pihak-pihak mencelah dalam tuntutan babit pengisytiharan darurat

Putrajaya kata pejabat peguam negara (PPN) kompeten wakli kerajaan dalam saman peguam Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar. (Gambar Bloomberg)

KUALA LUMPUR: Putrajaya menyokong seorang peguam yang membantah pihak lain menjadi pencelah dalam tuntutannya untuk pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan darurat oleh perdana menteri bercanggah Perlembagaan.

Peguam cara negara Abdul Razak Musa yang mengesahkan afidavit menyokong bantahan Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar itu berkata, peguam terbabit cuma membangkitkan soal perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk penjelasan mahkamah.

“Saya percaya saman pemula plaintif sekadar membabitkan tafsiran perlembagaan dan pendirian defendan (kerajaan) juga adalah berhubung kebergantungan terhadap undang-undang tertinggi negara itu,” kata Razak dalam afidavit dilihat FMT.

Katanya, isu konflik kepentingan seperti didakwa Persatuan Peguam Muslim (PPMM) tidak timbul dan pejabat peguam negara kompeten untuk mewakili kerajaan.

Tambahan, katanya, PPMM, Centre For A Better Tomorrow serta peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Malcolm Fernandez dan Nazirah Abdul Rahim tiada kepentingan dari segi undang-undang untuk menjadi pihak dalam tuntutan berkenaan.

Syed Iskandar sebelum ini memfailkan afidavit membantah permohonan mencelah dikemukakan PPMM dan empat yang lain itu.

Katanya, PPMM mewakili kepentingan kelompok dan agama, bukannya persekutuan, manakala empat pihak lain tidak menyatakan bagaimana kepentingan perundangan mereka mungkin terjejas akibat keputusan tuntutan berkenaan.

Setiausaha PPMM Ridha Abdah Subri berkata, pihaknya mahu mencelah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Syed Iskandar berkata, kerajaan yang diwakili PPN, cukup berkeupayaan melindungi kepentingan semua institusi Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menetapkan 16 Feb untuk mendengar permohonan mencelah berkenaan.

Dalam afidavit sokongannya, Syed Iskandar berkata Agong tidak menjalankan fungsinya mengikut Perkara 40 dan 150 Perlembagaan apabila tidak menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Kabinetnya.

Pada 23 Okt, Muhyiddin menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat mengikut Perkara 150 selepas dipersetujui dalam mesyuarat khas Kabinet.

Dua hari kemudian, selepas mesyuarat khas dengan Majlis Raja-Raja, Agong menetapkan perisytiharan darurat di seluruh atau sebahagian Malaysia tidak perlu.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments