Friday, September 20, 2024
HomeBREAKING NEWSADUN DAP Perak tolak kerjasama ‘membabi buta’ dengan Umno

ADUN DAP Perak tolak kerjasama ‘membabi buta’ dengan Umno

IPOH : Kesediaan DAP bekerjasama dengan UMNO di Perak dibuat tanpa perbincangan dengan kesemua 16 ADUN parti berkenaan terlebih dahulu, kata ADUN DAP Pasir Bedamar Terence Naidu.

Terence berkata selepas Ahmad Faizal Azumu hilang keyakinan majoriti ADUN sebagai menteri besar pada persidangan DUN, Jumaat lepas, beliau (Terence) tidak sekali pun dipanggil menghadiri mesyuarat parti.

“Saya tak boleh bercakap bagi pihak lain (ADUN DAP lain), saya cuma nak nyatakan, setakat ini, saya sebagai Ahli Jawatankuasa DAP Perak tidak dimaklumkan apa-apa perbincangan, dan apa-apa mesyuarat kepada saya sendiri,” katanya.

Menurut Terence, kali terakhir mesyuarat diadakan adalah sebelum persidangan DUN pada Jumaat lepas bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata parti itu memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Ditanya tindakan yang akan diambilnya sekiranya kerjasama berkenaan benar-benar terjadi, Terence berkata beliau akan mengambil pendirian tunggu dan lihat terlebih dahulu.

Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada media, beliau berkata sekiranya ‘bekerjasama’ bermakna menyokong belanjawan yang memanfaatkan rakyat di kala pandemik COVID-19, sudah pasti sebagai ADUN bertanggungjawab beliau sedia bersetuju.

“Tetapi bukan jenis kerjasama membabi buta, yang akan menyokong mana-mana salah guna kuasa dan korupsi,” katanya.

Selain Terence, seorang lagi ADUN DAP turut menyuarakan pendapat sama sebelum ini.

ADUN Pokok Assam Leow Thye Yih menolak kerjasama dengan UMNO dan tidak akan menyokong mana-mana calon Menteri Besar daripada parti berkenaan.

Leow membuat pendirian itu dengan alasan tindakan UMNO ‘merampas’ kerajaan Pusat daripada PH selain kerajaan Perak dan beberapa kerajaan negeri ditadbir PH sebelum ini, jelas menderhakai mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

DUN Perak mempunyai 59 ADUN dengan UMNO mempunyai kerusi terbanyak sebanyak 25, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Sehingga kini, tarikh Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar baharu belum dapat ditentukan kerana masih tiada pihak berjaya meyakinkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bahawa mereka mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments