Wednesday, December 25, 2024
HomeBREAKING NEWSAdakah sesetengah ahli MKT ‘jual’ Umno kepada PPBM? soal pemimpin akar umbi

Adakah sesetengah ahli MKT ‘jual’ Umno kepada PPBM? soal pemimpin akar umbi

Spekulasi bertebaran di media sosial sama ada Hishammuddin Hussein atau Ismail Sabri Yaakob akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

PETALING JAYA: Walaupun Pejabat Perdana Menteri menafikan khabar angin berhubung pelantikan timbalan perdana menteri, akar umbi Umno terus mempersoalkan sama ada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menggadaikan kepentingan Umno apabila bersekongkol dengan PPBM.

Pejabat Muhyiddin Yassin mengeluarkan penafian ringkas itu petang tadi apabila spekulasi bertebaran di media sosial yang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan melantik sama ada Hishammuddin Hussein dan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya.

Tiga pemimpin akar umbi Umno memberitahu FMT, ahli parti resah dengan spekulasi itu kerana ia mendedahkan komplot ahli MKT tertentu bekerjasama dengan PPBM, dan menutup suara sebilangan besar bahagian Umno yang mahukan kerjasama itu ditamatkan.

“Majoriti kami (ketua bahagian) menolak kerjasama dengan PPBM, ahli MKT kena dengar kepada kami, bukan sebaliknya,” kata seorang ahli akar umbi kepada FMT.

Beliau berkata, jika semua ahli MKT akur kepada hasrat Umno di peringkat bahagian, “kenapa masih ada khabar angin bahawa Hishammuddin atau Ismail Sabri mungkin dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata beliau.

Pemimpin itu berkata, spekulasi berkenaan hanya mendedahkan sesetengah ahli MKT sudah “menjual Umno kepada PPBM”.

Spekulasi Muhyiddin mungkin melantik Hishammuddin atau Ismail sebagai timbalan perdana menteri dikaitkan dengan susulan hubungan Umno-PPBM yang semakin tegang sejak beberapa bulan lalu.

Umno akan mengadakan perhimpunan agung akhir bulan ini yang dijangka meluluskan usul untuk parti itu menamatkan kerjasama dengan PPBM, selain mendesak pilihan raya umum (PRU) diadakan pada suku pertama tahun ini.

Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 143 daripada 191 bahagian parti itu menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU akan datang.

Setakat ini, dua Ahli Parlimen dari Kelantan iaitu Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keabsahan kerajaan pimpinan beliau.

Pemimpin akar umbi Umno mempersoalkan rasional di sebalik spekulasi Hishamuddin dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

“Beliau dilihat sebagai golongan elitis. Adakah beliau bercampur gaul dengan kita (peringkat akar umbi Umno),” kata seorang pemimpin akar umbi.

Seorang lagi pemimpin akar umbi berkata, sebilangan besar Umno bahagian tidak menyokong Hishammuddin mahupun Ismail untuk dijadikan timbalan kepada Muhyiddin.

“Mereka dilihat rapat dengan PPBM. Adakah mereka berupaya membela kepentingan Umno,” soal beliau.

“Apakah jaminan bahawa mereka tidak akan cuba membeli pengaruh dalam Umno (untuk menyokong) PPBM,” katanya.

Pemimpin akar umbi itu berkata, sebelum ini wujud bukti video yang memaparkan hasrat Muhyiddin menjadikan PPBM parti Melayu utama dengan menawarkan pelbagai ganjaran termasuk jawatan untuk pemimpin dan Ahli Parlimen menyertai kerajaan pimpinannya.

Justeru, akar umbi Umno amat gelisah dengan kemungkinan pemimpin tertentu dalam parti itu diperalatkan Muhyiddin untuk membelakangkan desakan ketua bahagian yang mahu menamatkan kerjasama dengan PPBM, kata beliau.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments