Friday, September 20, 2024
HomeBREAKING NEWSPermintaan komputer riba terpakai meningkat susulan arahan bekerja dari rumah

Permintaan komputer riba terpakai meningkat susulan arahan bekerja dari rumah

Syed Sabry di kedainya di Digital Mall, Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Dengan lebih ramai orang kini bekerja dari rumah, seorang peniaga IT berkata, permintaan komputer riba terpakai juga meningkat.

Syed Saby, pemilik kedai komputer di Digital Mall di Petaling Jaya berkata, jualannya meningkat 30% berbanding tahun lepas.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, pandemik Covid-19 tidak memberi kesan negatif ke atas segmen gajet terpakai dalam industri IT.

Katanya, peningkatan itu disebabkan oleh arahan bekerja dari rumah bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Syed Saby berkata, ramai pembeli komputer riba terpakai memberitahunya bahawa mereka berbuat demikian kerana tidak lagi mempunyai akses kepada komputer di pejabat.

Bagaimanapun katanya, permintaan tinggi itu juga menyebabkan harga naik kira-kira 30%.

“Kami mengimport komputer riba dan sekatan pergerakan di banyak negara mengganggu bekalan,” katanya.

“Kami terpaksa meningkatkan sedikit harga kerana permintaan bertambah dan untuk mengimbangi caj penghantaran yang tinggi.”

Komputer riba di kedainya dijual pada harga antara RM600 hingga RM3,500 mengikut usia dan jenamanya.

Katanya, beliau akan menasihati pelanggan supaya memilih komputer yang berharga antara RM1,000 hingga RM1,500.

“Komputer riba pada harga itu biasanya menyokong semua perisian dan aplikasi yang diperlukan untuk kerja. Saya bimbang jika pelanggan membeli komputer riba lebih murah, ia mungkin tidak membantu kerja mereka.”

Syed Saby juga berkata, sekatan perjalanan yang dikenakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan beliau terpaksa membangunkan sebuah laman web e-dagang bagi menyokong perniagaannya.

Kedainya juga menyediakan khidmat membaiki komputer.

Beliau berkata, khidmat membaiki komputer menyumbang pendapatan terbanyak untuk kedainya.

“Sekurang-kurangnya 70% pendapatan berpunca daripada khidmat membaiki komputer, tetapi sekarang ia merosot kepada 50%.

Namun tidak semua peniaga menikmati perniagaan lebih baik.

Muhammad Firdaus Fahmi, pemilik MamuGadjet di Universiti Malaya bercakap mengenai kemerosotan jualan komputer riba dalam kalangan pelajar universiti, yang merupakan pelanggan utamanya.

Katanya, kebanyakan pelanggan hanya berminat dengan komputer riba berharga di bawah RM1,000.

“Mereka tidak berminat jika harganya lebih tinggi daripada itu,” katanya kepada FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments