Saturday, October 5, 2024
HomeBREAKING NEWSMAIWP tak guna RM14.73 juta wang zakat untuk asnaf fisabilillah

MAIWP tak guna RM14.73 juta wang zakat untuk asnaf fisabilillah

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 memaklumkan bayaran agihan itu disalurkan kepada agensi kebajikan dan ia tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM14.73 juta wang zakat tahun lalu bagi asnaf fisabilillah tidak digunakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah (MAIWP) bagi tujuan sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 memaklumkan bayaran agihan itu disalurkan kepada agensi kebajikan dan ia tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

“Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan penakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

“Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Dapatan itu diperoleh hasil pengauditan terhadap pembayaran di bawah Kumpulan Wang Zakat yang meliputi transaksi Januari hingga Disember 2019 serta tahun sebelumnya, selain semakan terhadap 170 baucar bayaran menggunakan wang zakat RM206.9 juta.

Selain itu, antara kelemahan yang turut dikesan termasuk projek pembangunan yang dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017 menggunakan wang zakat, ditangguh hingga tahun ini.

Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan skim bantuan yang diberikan kepada asnaf fisabilillah hendaklah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

Selain itu, fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara “case by case” bagi memastikan tiada pembaziran, kerugian dan pengurangan kepada wang zakat.

Laporan itu mengesyorkan SOP seperti pemantauan terhadap status projek secara berkala dikuatkuasakan, terutamanya melibatkan kepentingan agensi mengemukakan laporan pelaksana, perbelanjaan program dan aktiviti.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments