Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSApa yang ingin kita raikan hari ini, di hari hak asasi Manusia?

Apa yang ingin kita raikan hari ini, di hari hak asasi Manusia?

Selamat hari Hak Asasi Manusia Sedunia wahai pembaca. Setiap pada 10 Disember, umat Manusia akan menyambut Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Benar, tidak banyak yang boleh kita sambut di Malaysia, Amri Che Mat misalnya belum kita tahu hidup matinya. Dia diculik sudah masuk empat tahun, tetapi tiada pertanggungjawaban meskipun SUHAKAM dalam inkuirinya percaya Manusia bernama Amri ini dihilangkan secara paksa. Demikian juga, Manusia bernama Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy, dan isterinya Ruth Sitepu mereka dipercayai telah dihilangkan tanpa tanda.

Kita juga membaca kisah ahli politik yang berkias mengenai kaum untuk mengesahkan rancangan kerajaan negeri menyodok sebuah rumah ibadat. Dia boleh saja bersikap profesional tanpa menggunakan kata ‘todi’ tetapi hak asasi Manusia bukan parameter di negara kita. Maka tiada pertanggungjawaban juga.

Kita dapat tahu kisah anak-anak di pulau dan perairan Sabah yang tidak ada pelajaran, bagaimana usaha senang susah sekumpulan anak muda untuk memberi mereka pandai. Kita dengar darihal yang sama untuk anak-anak gelandangan di Chow Kit. Kita dengar kisah lara masyarakat trans yang diperlakukan sewenang-wenangnya. Kita jengkel sekali dengan cerita pasangan kekasih yang dipaksa melakukan hubungan seks, wang mereka dikebas, dan sang perempuan dicabul sewenangnya. Semua gara-gara tiada pertanggungjawaban pada pemimpin kita. Gahnya menggunakan label kaum dan agama, tetapi sekelumit pun tiada pertanggungjawaban.

Kita membaca riwayat migran yang mengalami nestapa kerana rasuah menjadi pandemik di celah masyarakat. Kita dengar semua itu dan kita jengkel. Kita diasak pula dengan kisah kematian dalam tahanan.

Semua itu membuatkan kita bertanya mengapa kita bernegara? Bukankah negara yang wajib dan harus menjaga hak asasi kita sebagai Manusia? Tidakkah ada pertanggungjawaban daripada negara.

Dalam sebuah negara demokrasi, Manusia akan dijaga haknya oleh negara. Demokrasi akan memelihara hak asasi Manusia. Demikianlah patutnya. Akan tetapi apa boleh dibuat, pentadbiran negara sekarang ini tidak diundi oleh warganya iaitu Manusia tetapi kalian menjadi penguasa menerusi penipuan demi penipuan dengan cara paling sial iaitu menerusi babak khianat demi khianat.

Hari ini Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang begitu canggung disambut, nak buat apa, hidup perlu diteruskan. Kita menyahutnya meski tiada pertanggungjawaban.

Saya tidak mahu merungut sahaja dan menempikkan segala macam pincang hak asasi Manusia di negara kita. Itu bukan kerja SUHAKAM sahaja. Malah kerja kita semua, yakni Manusia.

Di hari hak asasi Manusia, saya ingin mengenang apa yang pernah dinukilkan oleh seorang sarjana besar kita, Syed Hussein Alatas, mengenai UDHR 1948 iaitu mercu tanda hak asasi Manusia sejagat.

Dalam sebuah karya beliau berjudul ‘Kita Dengan Islam – Tumbuh Tiada Berbuah’ yang terbit pada 1979, Syed Hussein menyatakan bahawa setiap anggota masyarakat berhak untuk memiliki tempat, pakaian dan makanan berzat yang mencukupi. Ini adalah bahagian dari hak asasi Manusia. Jangan percaya dongeng bahawa meraikan hak asasi Manusia bermakna kita meraikan akidah Manusia tidak seagama dengan kita. Atau mempercayai hak asasi Manusia bererti menafikan hak orang lain gender. Atau mengambil hak asasi Manusia bermaksud kita menjadi Barat. Itu semua fitnah. Memilih hak asasi Manusia bukan gaya hidup liberal. Memilih hak asasi Manusia ialah kerana kita semua Manusia. Islam mengiktiraf Manusia, dan hak minoriti.

Sekarang kita dalam pandemik, apakah hak semua di tengah krisis Covid-19. Pada 1979 itu, Syed Hussein sudah menyatakan mengenai soal kesihatan, bahawa ubat-ubatan daripada kerajaan mestilah mampu untuk dibeli oleh tiap-tiap anggota masyarakat. Bahawa tiap-tiap anggota masyarakat bahkan berhak untuk mendapatkan ubat daripada kerajaan tanpa sebarang diskriminasi. Kita berharap keadaan ini akan berterusan di Malaysia. Bahawa keadaan ini mestilah berterusan untuk semua, Manusia. Bila kita katakan semua, ia meliputi semua. Termasuk yang bukan warga. Bersediakah kita memahami kemurnian niat hak asasi Manusia?

Akan tetapi memadaikah ini semua, yakni meraikan?

Disember ini benarkah kita sudah Manusiawi? Pada 1979, Syed Hussein telah memperihalkan suasana negara yang aman. Sebuah negara yang tidak menakutkan rakyatnya. Jika kita bertanya kepada minoriti Kristian, Syiah, Ahmadi, dan minoriti seksual; mereka akan memberi jawapan; mereka takut. Mereka adalah Manusia yang takut. Apa yang mereka takuti? Mengapa rakyat harus takut?

Menurut Syed Hussein, sesebuah masyarakat itu mestilah sentiasa menjalani kehidupan dengan rasa senang, terjamin, tenteram, dan selamat. Hal ini sebagaimana beliau nyatakan dalam buku tersebut, “harus juga terdapat perasaan bahawa nyawanya, hartanya dan kehormatan peribadinya terjamin”. Ini disebut oleh beliau sebagai jaminan kemerdekaan peribadi. Tanpa jaminan tadi, masyarakat akan sentiasa berdepan dengan kegelisahan dan ketakutan walaupun dalam keadaan negara yang serba makmur. Adakah kita telah mencapai semua ini? Adakah rasa selamat telah kita perolehi jika pertanggungjawaban tiada daripada yang nombor satu di atas nun sana?

Dalam sebuah negara yang penangkapan ke atas anggota masyarakatnya boleh berlaku pada bila-bila masa bahkan ke atas sesiapa pun, ini adalah kerana pemerintahan telah berlaku sewenang-wenang dengan melanggar nilai-nilai demokrasi dan tidak menghormati nilai-nilai keadilan. Syed Hussein mendatangkan contoh pemerintahan sewenang-wenang pada waktu pemerintahan Hitler di Jerman yang mana pihak polis boleh menangkap sesiapa sahaja yang fahamannya tidak sesuai dengan golongan Nazi. Duhai Manusia dalam negara yang demokrasi dan hak asasi Manusia tidak dipedulikan, tahukah kalian akan pertanggungjawaban?

Syed Hussein selaku pemikir masyarakat seterusnya menyatakan bahawa nyawa itu perlu sentiasa dihormati dengan cara dipelihara dan dipanjangkan, malang kita masih tidak tahu apa yang terjadi kepada Amri dan Pastor Koh, sialan apa yang ingin kita raikan hari ini?

Dalam negara yang meraikan demokrasi, hak asasi Manusia haruslah menimbang juga keperluan minoriti. Syed Hussein menjelaskan, misalnya dalam soal azan beliau berpegang kepada ayat suci Al-Quran, ayat 110 surah Al-Isra’ yang terjemahannya bermaksud, “Dan janganlah kamu sembahyang dengan suara keras, dan jangan pula diam saja, dan carilah jalan di antara ini.” Syed Hussein Alatas berpendapat untuk masyarakat yang hidup bersama dalam budaya dan agama yang berbeza maka hendaklah umat Islam itu sendiri bertimbang rasa. Dalam soal azan misalnya, umat Islam tidak perlu menggunakan mikrofon atau setidak-tidaknya mengecilkan suara mikrofon tersebut. Sudahkah kita bertimbang rasa dengan hak-hak minoriti lainnya?

Jika dalam hal laungan azan kita diminta menimbang pertanggungjawaban, adakah dalam hal yang lebih besar dan ketara pemimpin tebuk atap sudah memberikan pertanggungjawaban mereka?

Jika tiada pertanggungjawaban apakah maknanya hari hak asasi Manusia sedunia hari ini? Jika ia tidak bermakna dan tiada siapa dapat dipertanggungjawabkan adakah kita negara yang tiada hak asasi Manusia. Adakah kita negara tanpa hak asasi? Adakah Manusia di negara ini ahak (tanpa hak)?

Jika kita tiada punya hak, justeru celaka dan lahanat apa yang sedang menimpa; sehingga kita tidak pun keluar dan bertarung berteriak untuk merebutnya?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments