Tuesday, October 1, 2024
HomeBREAKING NEWS2,742 rakyat kita dipenjara di luar negara, kata timbalan menteri

2,742 rakyat kita dipenjara di luar negara, kata timbalan menteri

Kes dadah merupakan kesalahan paling tinggi yang menyebabkan rakyat Malaysia ditahan di luar negara. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Seramai 2,742 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, daripada jumlah itu lebih separuh terbabit kesalahan dadah.

Katanya, kes kedua tertinggi membabitkan penipuan.

“Bilangan tahanan ini berdasarkan maklumat diterima oleh perwakilan Malaysia di luar negara.

“Paling utama ialah dadah iaitu 1,434 orang manakala kes penipuan (406), kad kredit palsu (132), kastam (89) dan imigresen (66),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang mahu Kementerian Luar menyatakan status terkini bilangan rakyat Malaysia yang dipenjara di luar negara dan apakah usaha untuk membantu mereka.

Sementara itu, mengikut pecahan negara rakyat Malaysia yang ditahan di Singapura seramai 614 orang, China (403), Thailand (360), Indonesia (331) dan Korea Selatan (295).

Ditanya jumlah yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau mati, Kamaruddin berkata setakat ini pihaknya tiada statistik lengkap dan akan mendapatkan maklumat lanjut dengan wakil Malaysia di luar negara.

“Setakat maklumat yang saya (ada), tiada statistik mengenai jumlah rakyat Malaysia yang dipenjarakan seumur hidup atau berdepan hukuman mati (di luar negara).

“Tetapi dalam jangkaan dan perkiraan saya, mungkin semua ini membabitkan hukuman berbentuk penjara dalam jumlah masa tertentu,” katanya.

Katanya, kerajaan prihatin terhadap kebajikan setiap warga Malaysia di luar negara dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Bagaimanapun, perwakilan Malaysia perlu menghormati proses perundangan tempatan dan tidak boleh mencampuri hal ehwal perundangan sesebuah negara. Seseorang individu yang ditahan di negara asing perlu bersedia untuk melalui proses perundangan di negara tersebut,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments