GEORGE TOWN: Sepasang kekasih yang mengendalikan dua restoran dengan kertas dinding berunsur komunis, memberi kenyataan kepada polis dalam siasatan ke atas dakwaan mereka “mempromosikan komunisme”.
Pasangan itu, seorang warga tempatan dan rakyat China, disiasat mengikut Akta Pertubuhan kerana mempromosikan komunisme dengan kertas dinding berimejkan pemimpin China, Mao Zedong, dan karya seni lain yang dilihat melambangkan ideologi komunis.
Peguam Devkumar K Kumaraendran berkata, anak guamnya tidak mempromosikan komunisme melalui kertas dinding di restoran mereka di Pulau Tikus dan Juru.
Katanya, restoran itu wujud kira-kira dua hingga empat tahun lalu dan penduduk setempat tidak pernah mengadu mengenai hiasannya.
Beliau berkata, pasangan itu memberi kerjasama penuh kepada polis ketika siasatan.
“Kertas dinding itu sudah ada sejak mereka membuka restoran ini dan tiada orang yang membantah,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.
Polis, termasuk pasukan dari D7, D9, dan Cawangan Khas dihantar ke dua restoran itu. Mereka pasti terdapat elemen “ideologi komunis” di dinding dua restoran berkenaan.
Sebelum ini, lima pekerja dilaporkan ditahan dan kertas dinding itu ditanggalkan polis sebelum pegawai penyiasat menutup restoran itu.
Ahli politik kerajaan dan parti pembangkang mengkritik polis atas tindakan itu.