PETALING JAYA: Perbalahan dalaman Amanah adalah virus yang perlu diatasi dan tidak boleh dipandang ringan, kata pengarah komunikasi parti Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata apa yang berlaku sekarang dalam Amanah adalah lumrah bagi sebuah parti politik, namun ia tidak menghakis keperluan untuk mengurangkan perbalahan dalaman itu.
“Justeru, adalah penting untuk akar umbi parti bersama-sama kepimpinan Amanah mengikis “virus” perbalahan dalaman sebelum ia “menular dan membarah,” kata Khalid kepada FMT.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam dalam mengutarakan keadaan parti itu berantakan, harus diambil berat oleh akar umbi.
“Tiada masalah dengan kenyataan itu. Dengan menyebutnya secara jelas, (beliau) mahu memahamkan ahli bahawa ianya masalah yang perlu ditangani. Jangan dianggap ianya perkara biasa,” kata Khalid.
Ketika merasmikan konvensyen tahunan Amanah, Mohamad akur Amanah dilanda pergolakan dalaman susulan pemilihan parti tahun lalu.
“Masih ada riak dan gejala yang amat saya tidak senangi. Kita mahu ahli bersaing secara sihat dan terbuka, namun pertikaian serta konflik yang berlanjutan hingga ke hari ini mesti ditangani secara lebih tuntas dan muktamad,” katanya.
Baru-baru ini, beberapa ADUN Amanah keluar parti dan menyertai parti lain. Antaranya ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang menyertai PKR.
ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, turut mengumumkan keluar parti itu dan memilih untuk menjadi ADUN bebas.
September lalu, Naib Presiden Amanah, Husam Musa meletak jawatan sebagai naib presiden parti, sekali gus menyerlahkan lagi kemelut dalaman parti itu.
Beberapa penganalisis sebelum ini turut melihat Amanah terbahagi kepada golongan pemimpin yang mahukan Anwar Ibrahim terus menerajui Pakatan Harapan manakala segelintir lain lebih cenderong untuk parti itu bekerjasama semula dengan Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menawan Putrajaya.