Saturday, October 12, 2024
HomeBREAKING NEWSLarang premis halal pamer produk ‘Merry Christmas’, Teresa mahu kerajaan perjelas pendirian

Larang premis halal pamer produk ‘Merry Christmas’, Teresa mahu kerajaan perjelas pendirian

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, JAKIM tidak perlu campur tangan sewenang-wenangnya dalam operasi perniagaan, termasuk melarang sambutan festival bukan Islam pada produk yang boleh dimakan.

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyatakan pendiriannya sama ada menyokong dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melarang premis mempunyai sijil halal mempamerkan ucapan “Merry Christmas” pada produk mereka, atau berdepan risiko pembatalan sijil halal jika gagal mematuhi arahan itu.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, JAKIM tidak perlu campur tangan sewenang-wenangnya dalam operasi perniagaan, termasuk melarang sambutan festival bukan Islam pada produk yang boleh dimakan kerana ia tiada kaitan dengan pemprosesan makanan.

“Gangguan ini bukan saja tidak mesra perniagaan, malah di luar bidang kuasa JAKIM serta memberi gambaran yang buruk terhadap imej kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, tidak ada negara Islam di dunia ini melaksanakan polisi sedemikian yang melarang perniagaan menjual produk halal kepada festival bukan Islam.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai agama. Sekiranya perdana menteri dan Agong menyampaikan ucapan Krismas secara terbuka, adakah JAKIM juga akan mempersoalkannya?

“Justeru, perdana menteri (Muhyiddin Yassin) perlu menyatakan pendiriannya terhadap JAKIM.

“Kabinet juga harus mendapatkan pandangan dari segi undang-undang adakah JAKIM telah melanggar perlembagaan persekutuan,” tegasnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad menafikan ucapan “Merry Christmas” pada produk yang ditempah pelanggan akan membatalkan sijil halal premis selain berkata, pemegang sijil boleh memenuhi tempahan tanpa sebarang masalah.

Menegaskan bahawa tidak larangan dikhususkan untuk perayaan selain Islam dalam manual tatacara pensijilan halal, Zulkifli berkata, ucapan “Merry Christmas” dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat “bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal”.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Abdul Aziz Jusoh bahawa ucapan perayaan Hari Krismas tidak dibenarkan dipamer di kedai-kedai yang mempunyai sijil halal dari JAKIM.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments