Saturday, October 19, 2024
HomeBREAKING NEWSMMA jangka vaksin COVID-19 berkesan dengan strain baharu

MMA jangka vaksin COVID-19 berkesan dengan strain baharu

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata jenis vaksin baharu yang disebut sebagai ‘mRNA’ itu mudah disesuaikan dengan mutasi. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berusaha meredakan kegusaran vaksin COVID-19 yang ditempah Malaysia mungkin tidak berkesan dengan mutasi baharu virus itu.

Presiden Dr Subramaniam Muniandy memberitahu FMT, beliau percaya ketakutan, terutamanya terhadap strain baharu yang dilaporkan dikesan di Britain itu diperbesar-besarkan.

Merujuk kepada jenis vaksin baharu yang disebut “mRNA”, katanya, vaksin seperti itu mudah disesuaikan dengan mutasi.

“Mutasi mengubah turutan asid amino dalam protein virus,” katanya. “Mudah untuk mengubah turutan vaksin mRNA itu untuk protein baharu itu.”

Beliau menambah, tiada bukti mengatakan mutasi dari Britain lebih berbahaya berbanding strain lain.

“Virus akan selalu bermutasi,” katanya. “Secara amnya, strain yang berkembang adalah strain yang lebih mudah berjangkit tetapi kurang mudarat.”

Dr Sanjay Rampal dari Universiti Malaya berkata masih banyak perkara tidak pasti mengenai mutasi COVID-19.

“Mutasi sekarang ini nampaknya akan meningkatkan kadar jangkitan tetapi dilihat tidak mempengaruhi keterukan penyakit itu,” katanya kepada FMT.

Katanya, generasi vaksin sekarang pasti berkesan, tetapi kesan mutasi masa depan pada keberkesanan vaksin masih perlu dikaji.

Beliau juga berkata tiada keperluan untuk melarang pelawat dari negara-negara di mana mutasi baharu itu dikesan kerana risiko mengimport virus dapat dikurangkan dengan kuarantin wajib.

Subramaniam menyambut baik keputusan kerajaan mendapatkan pelbagai jenis vaksin kerana tidak wajar bergantung pada satu jenis vaksin sahaja memandangkan kekurangan data.

Kerajaan komited membeli vaksin yang merangkumi 82.8% populasi negara, dengan satu juta dos pertama akan diberikan pada Februari kepada kumpulan sasaran seperti ‘frontliners’, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit.

Sebanyak 20% penduduk akan menerima vaksin keluaran Pfizer, 10% vaksin dari fasiliti Covax bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan 10% vaksin dari AstraZeneca.

Bagi 42.8% penduduk yang lain, kerajaan sedang dalam proses akhir rundingan dengan Sinovac, CanSino, dan Gamaleya untuk mendapatkan vaksin mereka.

Isnin lalu, Singapura menjadi negara Asia pertama yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin mempertahankan kelewatan Malaysia mendapatkan vaksin COVID-19, mengatakan ia kerana faktor kos.

Katanya, Singapura menandatangani perjanjian pembekalan vaksin beberapa bulan sebelum Malaysia kerana kemampuan kewangan republik itu jauh lebih besar, berbanding Malaysia.

Subramaniam berkata para pakar bimbang akan tempoh yang lama, tiga hingga empat bulan, untuk meluluskan vaksin itu, seperti yang disebut Khairy dan ketua pengarah kesihatan.

“Proses ini sebahagian besarnya mengkaji data,” katanya.

“Kita tidak ulang percubaan. Kami berharap proses lulus telah bermula dan dapat dipendekkan tanpa diambil mudah.”

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata kritikan terhadap kelewatan mendapatkan vaksin itu adalah wajar.

“Di Malaysia, kita terlalu fokus dengan membendung atau ‘mentaliti memadam api’ daripada membuat perancangan awal yang perlu,” katanya.

“Itulah sebabnya saya percaya kita ketinggalan berbulan-bulan dibandingkan dengan Singapura.

“Walaupun saya tidak menafikan wang adalah salah satu faktor, masalah ini dapat ditangani lebih baik dengan perancangan yang lebih baik dan pemikiran jangka panjang.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments