KUALA LUMPUR: Disember adalah waktu puncak industri pelancongan yang pada kebiasaannya menyaksikan kedatangan jumlah pelancong tertinggi pada sepanjang tahun tersebut.
Dalam erti kata lain, rezeki yang berlipat kali ganda kepada pemain industri terutama pemandu pelancong, sebelum menutup tirai memasuki tahun baharu.
Namun, Disember 2020 semuanya berubah wajah ketika penularan COVID-19 tidak lagi dapat dikawal negara-negara dunia mengakibatkan industri pelancongan antarabangsa lumpuh.
Lokasi tumpuan pelancong, kini sepi tiada pengunjung.
“Rindu bercakap dengan pelancong luar, bergurau senda dan menari di dalam bas persiaran,” kata Azhar Aziz, ketika ditanya detik yang dirindukan sepanjang meniti kerjaya sebagai pemandu pelancong.
“Saya sukakan kemeriahan itu. Mereka gembira saya juga gembira.Mereka datang ke Malaysia untuk bergembira bukan untuk stress. Kitalah yang memeriahkan mereka,” tambah Azhar.
Kini tiada lagi kegembiraan yang dimaksudkan itu.
Sejak Mac tahun ini, pintu sempadan negara ditutup sebagai langkah proaktif bagi mengawal penularan COVID-19.
Banyak jangkaan yang digariskan dalam meramal tempoh pemulihan sektor pelancongan antarabangsa.
Ada yang meramalkan seawal suku tahun kedua tahun depan. Sebahagian berpandangan pemulihan hanya akan berlaku pada 2023.
Norma baharu yang tiada pelancong , bermakna tiadalah kerja. Ini merentasi banyak pihak dalam sektor pelancongan termasuk pemandu pelancong, pemandu bas persiaran, agensi pelancongan serta syarikat penerbangan.
Bagi Nadira Mohsin, beliau tidak pernah menyangka wabak ini akan berlanjutan sebegini lama. Hampir setahun sejak pemandu pelancong berusia 33 tahun ini kehilangan mata pencarian.
“Bila saya tengok keadaan sekarang yang sepi macam ni , saya rasa sedih dan stress. Bila tiada pelancong, kita tiada pendapatan. Kebanyakkan kami merupakan bekerja secara ‘freelance’.
“Bila tiada pendapatan, semua urusan terkendala, komitmen kita tak dapat nak lunaskan,” keluh Nadira.
Manakan tidak kerana Disember kali ini, lokasi pelancongan negara benar-benar berubah wajah hanya dalam tempoh 12 bulan.
“Biasanya kita sebagai pemandu pelacong , bulan Oktober sehingga Disember merupakan waktu puncak. Kami sangat sibuk sehingga kadang kadang tidak pulang ke rumah. Kalau pulang pun hanya untuk mengambil baju,” tambah Nadira sambal ketawa ketika mengenang kembali kemeriahan industri sebelum COVID-19.
Industri pelancongan menyumbang 3.5 juta peluang pekerjaan pada 2018 iaitu 23.5% daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan.
Daripada jumlah ini , berlaku peningkatan drastik dalam kalangan pemandu pelancong.
Menurut statistik pada 2018 , terdapat 15,363 pemandu pelancong, berbanding 567 orang pada 1972, ketika kerjaya ini mula diperkenalkan.
Bagaimanapun COVID-19 nyata mengubah landskap industri pelancongan sebagaimana di peringkat global.
Bantuan “one-off” sedikit sebanyak membantu, namun apakah ia mencukupi bagi menanggung beban mereka untuk tempoh yang lebih lama?
“Kalau macam saya, kira alhamdulillah lagi sebab saya masih duduk dengan keluarga. Tapi macam kawan-kawan yang lain, ada 4, 5 orang anak, ada yang ibu tunggal. Lebih sakit lagi keadaan mereka,” kata Nadira.
Menurut Azhar, industri pelancongan dilihat akan menjadi antara sektor terakhir yang pulih sepenuhnya dari COVID-19. Beliau berharap kerajaan dapat mencari jalan bagi memastikan kelangsungan hidup sementara menanti pemulihan industrI.
Sehingga saat ini, belum ada tanda tanda pandemik ini bakal berakhir dalam tempoh terdekat, biarpun dunia telah bersedia dengan vaksin bagi membuka lembaran baharu 2021.
Sejumlah peruntukan juga diumumkan kerajaan bagi membantu memulihkan industry pelancongan yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Suatu ketika dahulu, pemandu pelancong merupakan barisan hadapan yang membawa imej negara di mata dunia.
“Saya akan kembali menjadi pemandu pelancong (bila semua ini berakhir), itu adalah minat saya dari zaman sekolah,” kata Azhar, yang buat masa ini menjadi pembantu peribadi seorang selebriti tempatan bagi menampung keperluan hidup.
Nadira berharap usaha memulihkan kembali industri pelancongan dapat diperhalusi dengan mengambil kira aspek keselamatan bagi menarik kembali pelancong.
Dalam beberapa hari ini, 2020 akan berakhir. Untuk Nadira, Azhar dan rakan-rakan mereka tirai tahun baharu membawa persoalan sampai bila keadaan mereka diselubungi ketidaktentuan?