Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSNasib pekerja migran di Malaysia tak sentiasa suram

Nasib pekerja migran di Malaysia tak sentiasa suram

Pekerja warga Bangladesh, Mosiur Rahaman, yang kini terperangkap di negara asal mahu kembali bekerja di Malaysia. (Gambar Mosiur Rahaman)

PETALING JAYA: Tertarik dengan peluang ekonomi lebih baik dan prospek kestabilan kewangan jangka panjang, pekerja asing kerap mendapati hujan emas di negeri orang tidak semestinya lebih baik apabila tiba di Malaysia.

Walaupun mereka membantu membina asas pertumbuhan pesat ekonomi negara sejak 1980-an, sumbangan pekerja asing sering tidak mendapat perhatian, dan kisah mengenai keadaan hidup yang teruk, fi pengambilan kerja yang tinggi, dan waktu bekerja yang panjang biasa didengar dalam kalangan komuniti itu.

Namun kisah mereka tidak selalunya suram, dan sempena sambutan Hari Migran Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), FMT bercakap dengan golongan yang tidak dihargai masyarakat ini untuk memahami pandangan mereka mengenai negara tuan rumah.

Mohamad, 43, seorang warga India yang hampir separuh hayatnya di Malaysia.

Beliau berpindah ke sini 20 tahun lalu kerana mencari peluang pekerjaan lebih baik dan pernah mengurus sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang.

“Malaysia tempat yang baik untuk bekera,” kata Mohamad, dengan senyuman apabila ditanya tentang pengalaman selama 20 tahun di negara ini.

Beliau kini mengurus sebuah kedai runcit di Puchong.

“Iklimnya sesuai, makanannya sedap, bahasanya mudah dipelajari, dan orang di sini juga mesra. Saya tidak pernah berdepan sebarang masalah di sini.”

Walaupun Mohamad mungkin berasa bersyukur kerana berpeluang hidup dan bekerja di negara ini, namun bukan semua rakyat berkongsi keghairahannya.

Tinjauan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) tahun lalu mendapati hampir separuh daripada 1,009 responden percaya pekerja asing bebanan ke atas ekonomi, dengan 82% mengaitkan mereka dengan kadar jenayah yang tinggi, dan 68% berkata kemasukan pekerja asing menggugat budaya dan warisan Malaysia.

Laporan berkenaan juga mendapati 58% responden percaya pekerja asing melakukan banyak kes jenayah dan 44% percaya mereka mempunyai etika kerja yang lemah dan tidak boleh dipercayai.

Kumpulan masyarakat sivil sebelum ini mengenal pasti rasisme dan xenofobia sebagai penyumbang utama kepada sikap buruk rakyat terhadap pekerja asing.

Menyebut sikap negatif rakyat terhadap pekerja asing berpunca daripada label seperti “sementara” atau “pekerja berkemahiran rendah”, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira, berkata, ia menempatkan mereka di strata sosial lebih rendah berbanding sektor atau pekerjaan lain yang diceburi orang tempatan dan golongan profesional lain.

Pengarah eksekutif Glorence Das berkata, orang tempatan mungkin bimbang kerana terpaksa bersaing dengan pekerja asing berkait sumber sosial, ekonomi dan politik, dan kebimbangan itu kemudian berubah menjadi sikap negatif yang ditujukan terhadap komuniti migran.

Bagi pengawal keselamatan warga Nepal, Bikram, kebimbangan itu tidak berasas.

“Tidak dapat dikatakan saya pernah jadi mangsa rasisme atau perbuatan negatif lain sejak tiba di negara ini,” kata lelaki berusia 28 tahun itu yang bekerja di Petaling Jaya sejak tiga tahun lepas.

“Kami biasanya bergaul sesama sendiri dan jarang berhubung dengan orang luar. Sepanjang hari kami hanya bekerja.

“Kami ke sini untuk mencari rezeki dan tidak mahu berdepan masalah dengan masyarakat tempatan.”

Terdapat lebih 1.7 juta pekerja asing di seluruh negara, dengan kebanyakannya bekerja di kawasan perindustrian.

Bagaimanapun terdapat hampir dua kali ganda pekerja asing tanpa izin (PATI) berbanding pekerja berdokumen.

PBB berkata pekerja asing, seperti juga mereka yang hidup terpinggir, turut terjejas dengan penularan Covid-19 disebabkan kehilangan pekerjaan, pengusiran, dan diskriminasi.

Seorang bekas pengurus projek di sebuah kilang di Klang, Mosiur Rahaman terpaksa pulang ke Bangladesh pada Mac selepas dua setengah tahun bekerja kerana hal keluarga.

Namun seperti pekerja asing lain, beliau tidak dapat kembali ke sini kerana sekatan perjalanan.

“Ya, sudah tentu,” katanya ketika ditanya apakah beliau mahu kembali ke sini.

“Saya suka bekerja di Malaysia. Saya selesa bekerja di Malaysia.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments