Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSRM2 sehari tidak cukup, kerajaan disaran naikkan wang saku murid Orang Asli

RM2 sehari tidak cukup, kerajaan disaran naikkan wang saku murid Orang Asli

Dewan Negara diberitahu 60% murid Orang Asli kini pergi ke sekolah dari rumah menyebabkan wang saku RM2 sehari tidak mencukupi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar wang saku murid dan pelajar Orang Asli daripada RM2 kepada RM10 sehari bagi menggalakkan kehadiran mereka ke sekolah.

Senator Isa Ab Hamid berkata RM2 yang diberikan kini sudah tidak relevan berikutan peningkatan kos sara hidup.

“Ada pelajar Orang Asli yang duduk asrama, mungkin soal sarapan pagi tidak ada masalah, namun 60% murid bersekolah dari rumah, kos sarapan pagi dah RM5, waktu tengah hari, hendak balik terpaksa jalan kaki atau naik bas sehingga dua jam sebelum sampai rumah.

“Jadi kalau dapat, kerajaan atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mempertimbang RM10 atau kos yang sesuai untuk murid dan pelajar ini,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara di sini, hari ini.

Pada masa sama, Isa juga berharap elaun makan untuk pelajar institusi pengajian tinggi swasta turut dinaikkan kepada RM450 sebulan berbanding RM150 sebulan ketika ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan insentif sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 kepada Orang Asli untuk membuat rumah sendiri berbanding diberikan bantuan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) yang berharga RM60,000.

Katanya, rumah yang dibina sendiri menggunakan buluh dan pelepah pokok bertam yang diawet tahan lama dan lebih dihargai oleh kaum Orang Asli berbanding rumah PPRT.

“Jika dibandingkan dengan kos rumah PPRT yang berharga RM60,000, mereka dapat membina lebih banyak, iaitu enam unit rumah kampung berkualiti dengan kos itu dan pada masa yang sama, boleh menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.

Persidangan Dewan Negara disambung Isnin.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments