Sunday, November 24, 2024
HomeBREAKING NEWSGagasan perdana cara terbaik menuju kestabilan, kata penganalisis

Gagasan perdana cara terbaik menuju kestabilan, kata penganalisis

Idea menyatukan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak secara rasmi dibangkitkan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin minggu lalu.

PETALING JAYA: Di tengah-tengah perdebatan antara parti politik mengenai kerjasama dan pakatan, beberapa penganalisis berkata, tiada banyak pilihan selain membentuk gagasan perdana untuk menubuhkan kerajaan stabil.

Idea untuk menyatukan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara rasmi dicadangkan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin minggu lalu.

Tetapi, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan keperluan lebih banyak gabungan politik.

“Nak berapa banyak lagi gabungan? Wujud gabungan untuk sedut kekuatan parti orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pensyarah, Azmi Hassan berkata, penyatuan PN, UMNO dan GRS atau Pakatan Harapan (PH) tidak cukup kuat untuk membentuk sebuah kerajaan, jika pilihan raya diadakan hari ini.

“Dengan situasi lemah dihadapi parti pemerintah dan pembangkang, sebuah gagasan perdana sangat diperlukan, walaupun sesetengah pemimpin parti tidak bersedia untuknya.”

Beliau berkata, beberapa “tawar-menawar” mungkin diperlukan untuk mencapainya, dengan parti cuba meyakinkan lawan supaya bergabung dengan mereka.

Namun, katanya, ia mungkin mengambil masa untuk gagasan itu ditubuhkan.

“Mungkin mustahil untuk dibuat sebelum PRU15, tetapi jika ‘tawar-menawar’ berlaku selepas PRU15, maka saya dapat menjangkakan masa depan di mana sebuah gagasan perdana akan membentuk kerajaan sangat stabil.”

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, membentuk gagasan perdana akan menjadi “cara paling realistik bagi parti politik mewujudkan platform kukuh untuk menggerakkan” sokongan pengundi.

Beliau berkata, PH “contoh terbaik” untuk gagasan perdana ketika memerintah negara, tetapi disiplin parti yang lemah membawa kepada kejatuhannya.

Katanya, mengekalkan disiplin penting jika sebarang gabungan mahu berjaya dalam jangka panjang.

“Menggubal undang-undang anti-lompat parti dapat memastikan ahli tidak berbuat demikian. Kebanyakan hujah yang menentangnya ialah ia tidak berperlembagaan. Hakikatnya, tiada kemahuan politik untuk melakukannya.”

Syed Arabi Idid, perunding strategi politik, berkata kepelbagaian etnik dalam negara menjadikannya penting untuk memastikan perwakilan mencukupi dalam sebuah gagasan perdana.

“Gabungan parti berasaskan Melayu, misalnya, mungkin mendapati sukar untuk bekerja tanpa sokongan Bumiputera lain, orang Cina dan India.”

Beliau mengharapkan parti politik terus mencari rakan baru kerana wujud ketidaktentuan berhubung kedudukan mereka.

Katanya, perjanjian tidak kukuh akan terus menjadi ciri kerjasama sehingga sebuah blok dominan dibentuk.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments