Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSBuka pasaran untuk vaksin, kata bekas timbalan menteri kesihatan

Buka pasaran untuk vaksin, kata bekas timbalan menteri kesihatan

Dr Lee Boon Chye berkata, usaha mewujudkan imuniti kelompok memerlukan 70% penduduk diberikan vaksin. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Vaksin Covid-19 perlu disediakan kepada sesiapa saja yang bersedia membayar harga pasaran untuknya, kata bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Walaupun kerajaan sudah menandatangani perjanjian dengan Pfizer-BioNTech dan Covax untuk memberi vaksin kepada 30% populasi, syarikat swasta seperti MyEG turut memeterai perjanjian komersial dengan pengeluar vaksin lain.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, vaksin akan diberikan secara percuma untuk semua rakyat Malaysia, sementara warga asing perlu membayar yuran yang akan ditentukan Kementerian Kesihatan.

Lee dalam kenyataan berkata, lebih “praktikal” untuk menyediakan vaksin percuma kepada kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan depan, warga emas dan individu menghidap banyak penyakit.

Dr Lee Boon Chye.

“Vaksin harus wajib untuk pekerjaan berisiko tinggi tertentu, di mana kontak rapat tidak boleh dielakkan.

“Bagaimanapun, vaksin juga harus disediakan kepada sesiapa saja yang mahu mendapatkan vaksin pada harga pasaran. Ini termasuk mereka yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara.”

Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, mengutamakan imuniti kelompok dianggap tindakan “bodoh” buat masa ini, memandangkan ia memerlukan vaksinasi 70% penduduk ketika persoalan mengenai kesediaan vaksin timbul.

Lee mendapati masih ada sedikit data mengenai keselamatan dan keberkesanan jangka panjang vaksin, dengan sedikit petunjuk sama ada ia dapat menghentikan penyebaran virus itu, walaupun rakyat dilindungi daripada jangkitan.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan Malaysia mendapatkan jumlah diperlukan untuk memberi vaksin kepada sebilangan besar orang.

“Kita tidak boleh mendapatkan bekalan mencukupi dengan sumber terhad kita kecuali kita bersedia membayar harga ditawarkan negara maju.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments