Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWS‘Saya hilang rumah dan tempat tinggal’, kisah wanita ditipu pemaju

‘Saya hilang rumah dan tempat tinggal’, kisah wanita ditipu pemaju

Jayainthy Subramaniam, 47, membuat bayaran penuh untuk membeli sebuah rumah dan diberikan kunci unitnya pada 2015. 

KULIM: Selama empat tahun sejak 2001, eksekutif pentadbiran Jayainthy Subramaniam membuat bayaran berperingkat kepada seorang pemaju untuk rumahnya dan pada 2005 beliau berasa gembira apabila ketika menerima kunci unitnya seluas 1,400 kaki persegi.

Bagaimanapun, kegembiraannya itu tidak kekal lama.

Beliau mula berdepan masalah pada 2009 dan selama lebih daripada 10 tahun sehingga sekarang, beliau cuba menyelamatkan rumah satu tingkat bernilai RM78,850 yang dibelinya itu daripada dilelong oleh bank.

Malangnya Rabu lepas, beliau tewas.

“Saya diberitahu hartanah itu dijual dalam lelongan di Mahkamah Tinggi Alor Setar. Kami tidak ada butiran lain,” kata Jayainthy yang percaya beliau kini hilang rumah dan tempat tinggal kerana penipuan.

Masalahnya bermula apabila beliau diberitahu bahawa pemaju tidak membuat bayaran kepada RHB Bank, yang merupakan institusi pembiayaan bagi projek berkenaan.

Wang tebusan juga telah dibayar bagi membolehkan hartanah itu didaftarkan di bawah namanya.

Apabila beliau menghubungi dengan bank itu, Jayainthy diminta membayar wang tebusan, faedah tertunggak dan caj lain sekitar RM100,000 untuk menuntut hartanah itu meskipun resit menunjukkan semua bayaran telah dibuat kepada pemaju terbabit.

Jayainthy berkata, sejak 2009, terdapat sekurang-kurangnya lima percubaan oleh bank untuk melelong hartanah itu, tetapi tiada pembeli yang berminat.

“Tidak adil bagi bank melelong rumah itu apabila bukti menunjukkan saya membuat semua bayaran untuknya. Pemaju yang gagal membuat pembayaran kepada bank.

“Ia adalah wang titik peluh keluarga saya. Salahkah saya kerana tidak tahu bank mempunyai masalah dengan pemaju?” soal Jaiyanthi, dengan menunjukkan resit atas pembayaran yang dibuatnya.

“Bank memberi pinjaman kepada pemaju yang tidak jujur dan tidak membayar hutang. Kenapa pula saya yang menjadi mangsa?” soalnya.

Jayainthy berkata beliau beberapa kali cuba bertemu pemaju Lunas Garden Sdn Bhd yang berpangkalan di Pulau Pinang, untuk menuntut sekurang-kurangnya bayaran balik wangnya, tetapi beliau tidak dapat menghubungi sesiapa.

Katanya, pemeriksaan terbaru menunjukkan syarikat itu belum diisytiharkan tidak solven.

Pada 2015, beliau membawa perkara berkenaan kepada Jabatan Perumahan Negara, yang jaga menuntut pemaju terbabit menjelaskan kenapa rumahnya dilelong apabila beliau sudah membuat bayaran penuh.

Beliau berkata, tiada maklum balas diterima, walaupun dua surat dihantar kepada pemaju itu.

Berikutan rayuannya kepada pemaju dan bank tidak dipedulikan, beliau memfailkan saman pemula terhadap Lunas Garden Sdn Bhd dan RHB Bank di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2017.

Bagaimanapun, beliau berkata pemaju terbabit tidak diwakili di mahkamah.

Kes berkenaan didengar dalam kamar, tetapi ia ditolak “tanpa sebarang sebab”, malah beliau diperintah membayar kos RM1,500 kepada peguam RHB Bank pada 13 Sept, 2018.

Dengan RM78,850 lesap dan tidak lagi mampu membayar peguam untuk meneruskan kesnya, beliau akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan perjuangan di mahkamah.

Jayainthy membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang juga tidak mendapat respons daripada bank atau pihak lain.

Ketua Biro Pengaduan CAP, Ravinder Singh berkata, bank harus berjiwa besar untuk membenarkan Jayainthy mendapat rumahnya.

Beliau berkata pembeli yang membeli rumah itu secara tunai, tidak tahu wang penebusan perlu dibayar sekali untuk menuntut rumah itu, tidak seperti mereka yang membeli hartanah melalui pinjaman.

“Beliau merupakan pembeli yang tidak bersalah. Pemaju tidak menyerahkan wang penebusan kepada bank selepas menerima wang dalam bentuk bayaran berperingkat,” katanya.

Seorang jurucakap RHB Bank berkata walaupun mereka bersimpati dengan nasib Jayainthy, mereka tidak dapat membantu kerana beliau bukan pelanggan mereka.

Bank berkata perjanjian jual beli adalah antara beliau dengan pemaju terbabit dan RHB tidak terlibat dengannya.

“Tindakan sivil oleh pengadu terhadap bank ditolak oleh mahkamah pada Sept 2018 dan beliau tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.”

Jayainthy kini hanya boleh berharap akan adanya bantuan daripada pihak yang prihatin supaya beliau dapat menuntut rumahnya yang dibelinya dengan susah payah.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments