Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWS81% katil di Hospital Sungai Buloh penuh susulan peningkatan kes COVID-19

81% katil di Hospital Sungai Buloh penuh susulan peningkatan kes COVID-19

Seorang pesakit COVID-19 menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Hospital Sungai Buloh yang merupakan pusat rawatan utama bagi pesakit COVID-19 kini 81% penuh berikutan peningkatan kes jangkitan baharu wabak itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan dua Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) masing-masing mencatatkan penggunaan katil 71% dan 84%.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti katil masih mencukupi bagi menerima jumlah kes yang meningkat dari semasa ke semasa.

Daripada 11,493 katil yang disediakan di enam hospital, 58% atau 6,646 katil kini digunakan.

Jumlah kapasiti katil bagi kes COVID-19 dimaklumkan oleh pusat kawalan wilayah tengah di Twitter hari ini.

Ia berkata, 58% katil digunakan di wilayah itu yang merangkumi Kuala Lumpur dan Selangor.

Jadual kapasiti dan penggunaan katil di pusat rawatan di wilayah tengah Semenanjung.

Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai 648 katil untuk rawatan intensif kini 52% penuh, atau 339 pesakit.

Manakala itu, penggunaan katil di PKRC Taman Pameran Agro Malaysia (MAEPS) di Serdang adalah sebanyak 3,333 atau 50% daripada 6,640 katil yang disediakan.

Berikutan peningkatan kes aktif KKM berkata, Hospital Rehabilitasi Cheras mungkin akan digunakan untuk pesakit warganegara jika perlu.

Terdahulu, KKM berkata, ia kini mempertimbangkan langkah untuk menjalankan kuarantin pesakit COVID-19 di rumah.

Noor Hisham berkata, bagaimanapun pada masa ini dasar kerajaan masih sama, iaitu menjalankan kuarantin pesakit COVID-19 di PKRC dan hospital.

Beliau berkata, sebilangan besar pesakit COVID-19 menunggu lama untuk dipindahkan dari rumah ke hospital di Lembah Klang.

Katanya, walaupun tidak dapat memberikan jumlah yang tepat, tetapi penangguhan pemindahan pesakit terbabit disebabkan oleh peningkatan jumlah pesakit COVID-19.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments