Tuesday, July 2, 2024
HomeBREAKING NEWS56 maut dalam 137 kemalangan babit penunggang basikal

56 maut dalam 137 kemalangan babit penunggang basikal

Polis menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika orang pergi dan balik kerja. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis merekodkan 56 kematian daripada 137 kemalangan melibatkan penunggang basikal di negara ini sejak Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias berkata, selain 56 kematian itu, 18 lagi cedera dan 63 cedera ringan.

Beliau berkata bagi tempoh sepanjang tahun lepas, JSPT merekodkan sejumlah 201 kes melibatkan 107 kematian, 35 lagi parah dan 59 cedera ringan.

“Sejak kebelakangan ini, aktiviti berbasikal di jalan raya menjadi satu trend baru rakyat Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal serta pengguna jalan raya lain.

“Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di jalan raya, JSPT menasihatkan penunggang basikal sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azisman berkata, aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran lalu lintas kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan bertimbang rasa dan lebih berhati-hati terhadap penunggang basikal kerana mereka ini amat terdedah kepada bahaya semasa berada di jalan raya.

“JSPT turut menasihatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan dan bukan di waktu puncak ketika orang pergi dan balik kerja.”

Beliau berkata, pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan, termasuk menggunakan rak di bumbung saja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

Katanya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan semasa menunggang basikal di jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Antaranya Seksyen 54 (1) APJ 1987, iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan, Seksyen 79(2) APJ 1987 mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments