Pemimpin kerajaan amat penting bagi sesebuah negara dengan keputusan yang dibuat mereka memberi kesan terhadap kehidupan rakyat. Namun, ada kalanya keputusan yang dibuat boleh mencetuskan kemarahan kepada rakyat sehingga menyebabkan mereka memilih keganasan sebagai cara menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Kematian pemimpin politik pasti mengejutkan, namun lebih teruk lagi apabila ia menemui pengakhiran secara ganas. Pembunuhan politik berlaku sepanjang sejarah manusia dan ada di antaranya memberi kesan jangka panjang untuk tahun-tahun mendatang.
Berikut adalah lima pembunuhan politik yang mengejutkan dunia:
1. Julius Caesar, 44 BC
Pada saat kematiannya, Julius Caesar mungkin boleh dikatakan lelaki paling berkuasa di Rom, dengan mencapai kejayaan bukan saja sebagai pemimpin ketenteraan malah juga populis yang disayangi.
Popularitinya yang melonjak mencetuskan kebimbangan ahli politik konservatif Rom yang menganggap beliau mahu menjadi raja, seterusnya menamatkan pemerintahan kerajaan republik itu.
Susulan itu, musuhnya membuat perancangan untuk membunuh Caesar ketika beliau melawat Senat, dalam serangan pembunuhan kejam apabila dia ditikam sebanyak 23 kali.
Yang mengejutkan, apabila anak pembatisannya, Marcus Junius Brutus, turut berada dalam kumpulan penyerangnya dan kata-kata terakhir Julius adalah, “kamu juga anakku?”.
Walaupun pembunuhan itu berjaya dilaksanakan, kematian Julius ahirnya membuka jalan untuk anak angkatnya, Octavian, mengubah republik berkenaan kepada Empayar Rom.
2. Abraham Lincoln, 1865
Selepas tamat Perang Saudara Amerika, presiden ke-16, Abraham Lincoln berusaha membina semula negara yang berpecah-belah itu. Malangnya, masih ramai yang marah dengan kekalahan dialami golongan Konfederat termasuk seorang pelakon, John Wilkes Booth.
Booth, anggota kumpulan pelampau kulit putih yang menyokong penghambaan, berazam membalas dendam bagi pihak Selatan dengan membunuh Lincoln serta kabinetnya.
Dia mencari peluang melaksanakan perancangan jahatnya ketika Lincoln menyaksikan persembahan di Teater Ford di Washington DC, apabila menembak pemimpin itu di belakang kepalanya.
Booth melarikan diri sambil melaungkan bahawa dia membalas dendam untuk pihak Selatan.
Walaupun Booth akhirnya ditembak mati, pembunuhan Lincoln itu mengakibatkan kesan buruk untuk golongan kulit hitam yang baru saja diberi kebebasan.
Pengganti Lincoln lebih bersimpati dengan Selatan seterusnya perundangan bersifat perkauman dilaksanakan di wilayah itu yang berterusan sehingga pertengahan kurun ke-20.
3. Franz Ferdinand, 1914
Siapa sangka sebutir peluru mampu membawa kepada jutaan kematian dalam perang besar-besaran membabitkan seluruh dunia?
Itulah yang berlaku apabila Archduke Franz Ferdinand, waris takhta Austria yang maut di tangan pembunuh Serbia sekaligus mencetuskan Perang Dunia Pertama.
Ketika itu, Austria masih kuasa besar di Eropah, di bawah pemerintahan keluarga Habsburg sejak kurun ke-13.
Sewaktu Archduke dan isterinya Sophie melawat Sarajevo, Bosnia, mereka menjadi sasaran pelbagai cubaan bunuh, namun semuanya berjaya dipatahkan.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke hospital untuk melawat mangsa serangan bom, pasangan diraja itu melintas berhampiran seorang lagi pembunuh yang berjaya menembak mereka.
Sophie maut serta-merta, manakala Archduke yang parah sempat merayu kepada isterinya supaya bertahan demi anak-anak mereka, sebelum turut menghembuskan nafas terakhir.
4. Mahatma Gandhi, 1948
Beliau pemimpin paling terkenal India, namun kematiannya yang ganas begitu bertentangan dengan cara hidup aman yang diperjuangkannya.
Wajah pergerakan kebebasan India, Mahatma Gandhi mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana tegas melawan Empayar Britain secara aman.
Pembahagian India kepada India dan Pakistan di bawah pentadbiran Britain mencetuskan rusuhan besar-besaran yang mengejutkan Gandhi.
Walaupun menentang pembahagian itu, Gandhi menganggap pendekatan aman dan kompromi lebih penting, malah dalam satu kejadian beliau berjaya meredakan kumpulan orang ramai yang berhimpun untuk merusuh di Calcutta.
Malangnya, tidak semua orang bersetuju dengan pendekatannya, dan segelintir golongan pelampau Hindu menganggapnya pengkhianat.
Seorang daripadanya, Nathuram Godse, mengambil tindakan drastik menembak mati Gandhi ketika pemimpin itu dalam perarakan aman pada 30 Jan 1948.
Kematian Gandhi diratap di serata India dan sehingga hari ini dilihat sebagai pengakhiran menyediahkan untuk seorang pemimpin yang hanya mahukan keamanan.
5. Benazir Bhutto, 2007
Satu-satunya wanita yang menjadi perdana menteri dalam sejarah Pakistan ini juga pemimpin wanita pertama dalam dunia Muslim moden. Beliau juga menjadi inspirasi untuk kaum Hawa.
Beliau merupakan anak sulung bekas perdana menteri, Zulfikar Ali Bhutto dan mengasaskan Parti Rakyat Pakistan serta memegang jawatan sama pernah disandang ayahnya dari 1988 hingga 1990.
Graduan Harvard dan Oxford itu terkenal lantang memperjuangkan liberalisme serta sekularisme, selain turut menyokong hak asasi wanita.
Selepas memilih hidup dalam buangan susulan kemelut politik di negara itu, Benazir berusaha kembali ke arena politik tanah airnya pada 2007 dengan harapan dapat bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan pada tahun berikutnya.
Dalam kempennya, Benazir berazam mengurangkan campur tangan tentera dalam politik negara, selain memerangi pelampau agama dan keganasan di Pakistan.
Namun, cita-citanya gagal direalisasikan apabila beliau ditembak mati pada 27 Dis 2007 yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan al-Qaeda.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]