5 kluster baru Covid-19 dikesan hari ini

0
269
Lima kluster baru Covid-19 dikesan di empat negeri dalam tempoh 24 jam lepas.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lima kluster baharu Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah kluster Keris Residence dan Brumas di Sabah, kluster Tapak Pembinaan Zuhrah di Selangor, kluster Long Panji di Kelantan dan kluster Jalan Timah di Johor.

Kluster Keris Residence melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran, dengan kes indeks didapati positif pada 12 Dis dalam pemeriksaan selepas menunjukkan gejala.

65 individu berkaitan kluster ini disaring, dengan 41 disahkan positif.

Kluster Brumas dikesan di Kalabakan, dengan pesakit pertama diuji positif pada 8 Dis selepas melalui saringan.

Sebanyak 89 orang disaring, dengan 16 didapati positif Covid-19.

Kluster tapak pembinaan Jalan Zuhrah dikesan di daerah Petaling, dengan kes indeks didapati positif dalam pemeriksaan di tempat kerja.

Sebanyak 450 orang disaring, dengan 49 didapati positif.

Dalam pada itu, kluster Long Panji melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di Kelantan, dengan pesakit pertama diuji positif pada 15 Dis dalam pemeriksaan selepas menunjukkan gejala.

Sebanyak 202 orang disaring, dengan 11 disahkan positif.

Terakhir, kluster Jalan Timah melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor, dengan kes indeks didapati positif pada 18 Dis dalam saringan Covid-19 selepas menunjukkan gejala.

238 individu disaring berkait kluster ini, dengan 26 didapati positif.

Sementara itu, tiga kluster secara rasmi berakhir hari ini, iaitu kluster Softwood LD di Sabah, kluster Besi Demak di Sarawak dan kluster Rajawali di Pulau Pinang.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 199 daripada 440 jumlah kumulatif kluster dilaporkan.

Daripada kluster tersebut, 41 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Kluster yang mencatatkan kes baharu tertinggi ialah kluster Tapak Pembinaan Jalan Stadium (167 kes), kluster Penjara Jalan Harapan (96) dan kluster Tembok (80).