Wednesday, January 8, 2025
HomeBREAKING NEWS327 pegawai, anggota polis ditahan salah guna dadah, jual ketum, kata Bukit...

327 pegawai, anggota polis ditahan salah guna dadah, jual ketum, kata Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata, polis tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR : Sejumlah 327 pegawai dan anggota polis ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam 10 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Razarudin Husain berkata, tangkapan di bawah Op Duri itu menunjukkan penurunan berbanding 566 tangkapan tahun lepas.

Beliau juga berkata, ada kalangan pegawai dan anggota polis terbabit dalam penjualan ketum.

“Saya tidak boleh nafikan bahawa ada pegawai dan anggota polis yang terlibat penjualan ketum yang dilarang di bawah Akta Racun. Kami ada terima laporan berhubung perkara ini,” katanya.

Razarudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sama ada mendakwa pegawai dan anggota yang terlibat di mahkamah atau menukarkan mereka.

Beliau berkata, antara tangkapan kes penyalahgunaan dadah melibatkan anggota dan pegawai polis ialah membekalkan, memiliki, keputusan ujian air kencing positif.

Ia juga membabitkan peruntukan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Pihak JSJN sentiasa melaksanakan pelbagai operasi, termasuk Op Duri yang sebelum ini dikenali sebagai Op Blue Devil bagi mencegah penglibatan anggota dan pegawai dengan penyalahgunaan dadah.

“Daripada jumlah itu, 18 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 74 kerana memilki dadah, 225 positif air kencing, sementara 10 individu melalui LLPK setakat ini tahun ini,” katanya.

Tahun lepas, 40 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 99 kerana memiliki dadah, 424 positif air ujian kencing serta tiga di bawah LLPK.

Razarudin berkata, trend penurunan tangkapan yang turut dilakukan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) membuktikan bahawa Bukit Aman tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, sekiranya pegawai serta anggota yang ditahan tidak terlibat dalam isu integriti dan hanya mempunyai masalah disiplin diri serta dilihat tidak sesuai bertugas di JSJN, mereka akan ditukarkan ke jabatan lain.

Ditanya mengenai tindakan terhadap semua rampasan dadah yang dilakukan polis, beliau berkata, ia menjadi barang kes sehingga perkara itu diputuskan oleh mahkamah.

“Apabila dadah tersebut dikembalikan kepada kita, JSJN akan melaksanakan pelupusan mengikut kaedah yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kebiasaannya, pelupusan dilaksanakan dengan membakar barangan terbabit dan ada syarikat dilantik Jabatan Alam Sekitar itu sendiri,” katanya.

Razarudin berkata, pelupusan dadah turut dihadiri wakil bahagian lain, termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dan media.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments