Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWS3 resepi lempeng yang enak untuk minum petang

3 resepi lempeng yang enak untuk minum petang

Lempeng sentiasa menjadi kegemaran semua samada kanak-kanak mahu pun dewasa. (Gambar Butterkicap)

Tahukah anda, terdapat berbagai jenis lempeng yang boleh kita cuba dan ia sememangnya resepi paling mudah serta cepat dimasak. Rasanya juga menyelerakan mengikut jenis lempeng yang disajikan.

Jika yang manis, boleh dimakan begitu saja atau boleh dicicah dengan sambal kegemaran anda. Apa kata, kita sajikan hidangan petang ini dengan 3 jenis lempeng istimewa berikut:

1. Lempeng Pisang

Lempeng pisang, sedap dimakan begitu sahaja. (Gambar epicurious.com)

Bahan-Bahan:

  • 125g tepung gandum, diayak
  • 3 biji pisang, dilenyekkan
  • 2 sudu besar gula
  • 50ml susu
  • 2 sudu besar mentega, cairkan

Caranya:

  1. Masukkan tepung, gula dan mentega cair ke dalam sebuah mangkuk besar. Kacau rata.
  2. Masukkan pisang yang dilenyekkan dan kacau hingga sebati.
  3. Masukkan susu sedikit demi sedikit hingga mencapai konsistensi yang diingini.
  4. Panaskan kuali pada suhu sederhana besar dan minyakkan permukaan kuali. Pastikan anda tidak masukkan terlalu banyak minyak.
  5. Cedok adunan hingga 1/4 senduk dan masukkan ke dalam kuali. Terbalikkan setelah 2-3 minit ataupun selepas adunan berhenti berbuih. Anda boleh alihkan sedikit untuk lihat sama ada adunan di bawah sudah masak.
  6. Setelah masak, angkat adunan dan letak di atas pinggan. Ulang hingga semua adunan habis.

2. Lempeng Sardin

Lempeng sardin, sangat menyelerakan jika disulam bersama air kopi. (Gambar Butterkicap)

Bahan-Bahan:

Adunan tepung

  • 2 cawan tepung gandum, diayak
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 cawan air
  • 1 sudu teh garam

Inti

  • 1 tin sardin, dicuci dan tapis
  • 6 biji cili padi, dihiris
  • 2 biji cili merah, dihiris
  • 3 biji bawang merah, dihiris
  • 3 sudu besar puri tomato
  • 2 biji limau nipis, dibelah dua
  • 3 helai daun limau nipis, dicarik
  • Garam dan gula secukup rasa

Caranya:

  1. Satukan semua bahan adunan dan kacau rata. Kawal konsistensi adunan dengan masukkan air sedikit demi sedikit. Ketepikan adunan.
  2. Dalam kuali, masukkan sedikit minyak dan atas api sederhana besar, masukkan bawang dan tumis hingga wangi.
  3. Masukkan sardin dan kacau hingga masak. Masukkan cili api, cili merah, puri tomato dan daun limau nipis. Kacau rata.
  4. Perahkan sedikit jus limau nipis dan perasakan dengan garam dan gula hingga cukup rasa.
  5. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak. Ratakan minyak di seluruh permukaan kuali.
  6. Sendukkan 1/3 adunan dan masukkan ke dalam kuali. Ratakan adunan. Masak hingga permukaan lempeng kelihatan hampir masak. Terbalikkan dan letakkan sedikit inti sardin di atas.
  7. Terbalikkan dan masak lagi hingga sedikit garing, angkat. Ulang hingga adunan habis.

3. Lempeng kelapa

Lempeng kelapa, nampak biasa tapi rasanya luar biasa. (Gambar meghanbirt.com)

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan kelapa parut putih
  • 2 cawan tepung gandum, diayak
  • 2 sudu teh serbuk penaik
  • 2 cawan air
  • 1 sudu teh gula halus
  • 1 sudu teh garam

Caranya:

  1. Satukan semua bahan dan kacau hingga rata. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk mengawal konsistensi adunan. Ketepikan.
  2. Panaskan kuali yang diminyakkan atas api sederhana besar.
  3. Sendukkan 1/4 cawan adunan dan ratakan. Masak hingga permukaan lempeng kelihatan pucat.
  4. Terbalikkan dan masak lagi hingga sedikit garing, angkat. Habiskan semua adunan.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com. Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments