Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWS25 pencarum Perkeso dijangkiti COVID-19 di Kedah terima bayaran faedah

25 pencarum Perkeso dijangkiti COVID-19 di Kedah terima bayaran faedah

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, Perkeso membayar lebih RM2 juta kepada 597 pencarum yang layak di bawah SKSPS dengan lebih separuh menerima bayaran faedah hilang upaya sementara.

PENDANG: Seramai 25 individu di Kedah yang dijangkiti COVID-19 di tempat kerja menerima bayaran faedah di bawah skim bencana kerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, kesemua mereka dibayar sebanyak 90% daripada jumlah gaji masing-masing mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga disahkan negatif daripada virus berkenaan.

“Seramai 25 pencarum Perkeso ini layak menerima bayaran di bawah skim tersebut setelah siasatan mendapati mereka benar-benar dijangkiti COVID-19 di tempat kerja sahaja dan terdapat satu kes kita tolak berikutan pencarum itu tidak dijangkiti di tempat kerja.

“Selain itu, satu kes lagi dalam siasatan. Kesemua kes ini membabitkan jangkitan daripada kluster Sungai, kluster Telaga dan kluster Tembok yang direkodkan di negeri ini,” kepadanya pemberita selepas merasmikan taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso di sini hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata, bagi memastikan bayaran dibuat hanya kepada pencarum yang layak, Perkeso melakukan siasatan terperinci selain turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenal pasti kes jangkitan di tempat kerja.

Awang berkata, Perkeso membuat bayaran lebih RM2 juta kepada 597 pencarum yang layak mendapat faedah di bawah SKSPS dengan lebih separuh daripada penerima menerima bayaran faedah hilang upaya sementara (HUS).

“Faedah HUS dibayar kepada orang berinsurans bekerja sendiri sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya empat hari, termasuk hari kemalangan,” katanya.

Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang menyarankan golongan yang bekerja sendiri mencarum di bawah skim itu sebagai persediaan perlindungan diri dan keluarga sekiranya ditimpa kecelakaan.

“Kita harap mereka yang bekerja sendiri mengambil manfaat daripada SKSPS ini kerana setakat ini penglibatan mereka masih rendah.

“Perkeso juga akan mempergiatkan kempen dan promosi bagi menarik lebih ramai individu mencarum dengan SKSPS kerana manfaatnya banyak,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments