Sunday, September 8, 2024
HomeBREAKING NEWS2 kawasan PKPD di Sabah, Perak tamat

2 kawasan PKPD di Sabah, Perak tamat

Dua kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sabah dan Perak masing-masing ditamatkan hari ini dan esok.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Sabah dan di Perak ditamatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, di Sabah PKPD ditamatkan bermula hari ini iaitu di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu.

“Sehingga 10 Dis, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan sebanyak 175 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di Kampung Numbak dan 224 kes di Penempatan Telipok.

“Bagaimanapun, sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah, Ipoh, Perak bermula esok seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, Ismail berkata kecuali bagi asrama pekerja Kilang Yamaha yang akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPD selama tujuh hari lagi bermula 15 hingga 21 Dis ini.

“Bagi Zon A Taman Klebang Jaya, KKM melaksanakan 2,679 ujian saringan dan merekodkan sebanyak 37 kes kumulatif positif Covid-19.

“Selain itu, KKM turut mengesahkan masih terdapat kes aktif positif Covid-19 yang melibatkan pekerja warga asing tertumpu di asrama pekerja Kilang Yamaha.

“Manakala, bagi Taman Pinji Mewah, KKM mengesahkan semua penduduk disaring sepenuhnya dan sebanyak lapan kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini,” katanya.

Ismail berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh daerah Kinta turut ditamatkan esok kecuali di kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta.

Dua kawasan itu diteruskan pelaksanaan PKPB hingga 20 Dis ini.

Ingkar arahan

Sementara itu, Ismail berkata polis menahan 655 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 587 individu dikompaun dan 67 direman manakala seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (292), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (179), tidak memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (75) lain-lain (10),” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments