KABUL: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati dua hakim wanita Afghanistan yang berkhidmat untuk Mahkamah Agung dalam serangan awal pagi di ibu negara itu pada Ahad, kata pegawai, ketika gelombang pembunuhan berterusan.
Jurucakap mahkamah, Ahmad Fahim Qaweem memberitahu AFP, ketika kejadian, dua hakim itu dalam perjalanan ke pejabat mereka dengan menaiki sebuah kenderaan mahkamah.
“Malangnya, kami kehilangan dua hakim wanita dalam serangan hari ini. Pemandu mereka cedera.”
Jurucakap itu berkata, lebih 200 hakim wanita bekerja untuk mahkamah tertinggi Afghanistan.
Polis Kabul mengesahkan serangan itu.
Keganasan meningkat di seluruh Afghanistan dalam beberapa bulan ini, khasnya di Kabul, di mana trend baru menyasarkan pembunuhan tokoh berprofil tinggi sehingga menimbulkan ketakutan dan kekacauan di negara bergolak itu.
Serangan terbaru itu berlaku hanya dua hari selepas Pentagon mengumumkan ia mengurangkan jumlah tenteranya di Afghanistan kepada 2,500 orang, jumlah terendah dalam perang hampir dua dekad.