PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 1,683 kes baru COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan Selangor merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 692 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baru itu, 1,675 adalah penularan tempatan manakala baki 8 kes adalah jangkitan dari luar negara.
“Selain Selangor, negeri yang turut mencatatkan kes tinggi ialah Sabah (126 kes), Kuala Lumpur (197 kes), Negeri Sembilan (174 kes), Melaka (140 kes), Johor (77kes) dan Perak (65 kes),” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Hisham berkata, Perlis menjadi negeri tunggal tidak merekodkan sebarang kes positif hari ini.
Sehingga kini terdapat 106 kes positif sedang dirawat di ICU dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Ingin dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 432 kes,” katanya.
Kes sembuh pada hari ini adalah 1,214 kes menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya sebanyak 75,244 kes.
Sehingga hari ini, Malaysia merekodkan 90,816 kes positif COVID-19 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 15,140 kes.