Friday, March 29, 2024
HomeBREAKING NEWS15 keluarga Orang Asli di Johor lari ke hutan bimbang dijangkiti Covid-19

15 keluarga Orang Asli di Johor lari ke hutan bimbang dijangkiti Covid-19

(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di Iskandar Puteri “melarikan diri” dari kampung mereka sejak dua hari lalu kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Kumpulan 15 keluarga itu bertindak demikian kerana bimbang dijangkiti Covid-19, selepas mendapat tahu seorang guru agama di kampung mereka disyaki positif virus itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, pihaknya mendapat tahu perkara itu semalam dan meninjau keadaan mereka di kawasan hutan berhampiran yang dijadikan penempatan mereka.

“Kita dapati kira-kira 40 orang, termasuk kanak-kanak dan bayi melibatkan 15 keluarga itu berpindah ke kawasan hutan bakau berhampiran kerana bimbang dijangkiti virus Covid-19.

“Kita telah beritahu mereka, individu (guru agama) itu telahpun menjalani saringan dan keputusannya disahkan negatif. Jadi, kita dalam usaha memujuk mereka kembali ke kampung,” katanya kepada Bernama.

Pandak berkata, pihaknya bersama penghulu mukim dan Tok Batin sekali lagi membuat lawatan dan tinjauan ke kawasan itu hari ini dan mendapati kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka tidak selamat, khasnya kepada kanak-kanak serta bayi.

“Selain itu, faktor cuaca dan tempat tinggal yang mereka dirikan sekadar khemah sementara dan bangsal itu juga didapati tidak sesuai dan selamat diduduki.”

Beliau berharap masyarakat Orang Asli itu akan segera berpindah balik ke kampung mereka.

Difahamkan, lebih 800 orang mendiami kira-kira 180 rumah di Kampung Orang Asli Simpang Arang.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments