Friday, September 20, 2024
HomeBREAKING NEWSNaib ketua Pemuda PPBM Kota Tinggi lemas selepas tergelincir di jeti

Naib ketua Pemuda PPBM Kota Tinggi lemas selepas tergelincir di jeti

Mohd Zulfikrie Buang dilaporkan tergelincir dari perancah ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau di Bandar Penawar petang semalam. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Mayat Naib Ketua Pemuda PPBM Kota Tinggi ditemui lemas di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Mohd Zulfikrie Buang, 24, dilaporkan tergelincir dari perancah ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau di Bandar Penawar petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, mayat Zulfikrie ditemui 3 petang tadi dalam anggaran 500m dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dengan penemuan mayat ini, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua hari ini ditamatkan pada 4.15 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan selepas operasi pada hari sebelumnya gagal menemui sebarang petunjuk.

Operasi ditumpukan di kawasan pinggir pantai Jeti Nelayan Tanjung Balau, Jeti Challet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balau dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Pemuda PPBM Kota Tinggi dalam kenyataan di Facebook rasmi parti itu mengesahkan kejadian yang menimpa Zulfikrie.

“Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk Naib Ketua Pemuda PPBM Bahagian Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang yang ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau, petang tadi. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman,” menurut kenyataan itu.

Barisan kepimpinan Pemuda PPBM Kota Tinggi turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Zulfikrie dan berikrar parti akan meneruskan perjuangan arwah untuk masyarakat.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments