Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSPulau Pinang pegang jaminan MB Kedah tidak teroka kawasan tadahan air Ulu...

Pulau Pinang pegang jaminan MB Kedah tidak teroka kawasan tadahan air Ulu Muda

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, isu pampasan perlu diselesaikan dengan kerajaan persekutuan sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa berkaitan penggunaan air di negara ini.

PETALING JAYA: Kerajaan Pulau Pinang berpegang kepada jaminan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, jaminan itu demi kepentingan bekalan sumber air mentah kepada 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang secara keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat semalam bahawa menteri besar Kedah memberi jaminan tidak akan meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda.

“Serentak itu, kerajaan negeri Pulau Pinang juga mengalu-alukan usaha menteri untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi memastikan kelangsungan kawasan tadahan sumber air di Ulu Muda dapat dilindungi daripada sebarang aktiviti yang boleh mengganggu gugat kawasan tadahan sumber air yang begitu penting tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Chow berkata, Pulau Pinang mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda di bahagian sempadan negeri itu.

Katanya, isu pampasan perlu diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa berkaitan penggunaan air di negara ini.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata Sanusi memberi jaminan kawasan tadahan air tidak akan diterokai dan mana-mana kawasan pembalakan yang diluluskan sebelum ini melibatkan kawasan tadahan air juga akan diganti dengan kawasan lain.

Sebelum ini Sanusi berkata, kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri itu yang dianggarkan bernilai RM62 billion daripada keseluruhan RM43 trillion yang terdapat di negara ini.

Mineral itu berkait dengan perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang tidak beradioaktif yang ditemui di bawah permukaaan bumi di Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments