PETALING JAYA: Umno yang menerajui kerajaan baru Perak mungkin menjadi permulaan kepada usaha parti itu untuk menukar kepemimpinan di negeri lain di mana ia mempunyai lebih banyak kerusi daripada PPBM, ramal seorang penganalisis politik.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, konflik dan ketegangan antara Umno, PPBM dan PAS di peringkat negeri dan negara masih belum selesai.
Beliau berkata peristiwa di Perak menunjukkan Umno sedang berusaha untuk “membetulkan keadaan ” dengan mengambil alih negeri di mana ia mempunyai majoriti, selepas “tunduk pada hegemoni PPBM”.
“Sekiranya PPBM melutut di Perak, maka negeri-negeri lain, malah di peringkat persekutuan di mana gabungan Umno mempuyai majoriti berpotensi jatuh kepada kuasa yang sama.
“Bagi PAS, ‘duduk atas pagar’ adalah paling baik,” katanya kepada FMT.
Umno mengusai 25 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan 59 anggota, sementara PPBM ada lima kerusi dan PAS tiga. Gerakan dan Bebas masing-masing mempunyai satu kerusi.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) menguasai 24 kerusi melalui DAP (16), Amanah (lima) dan PKR (tiga).
Bagaimanapun, bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, dengan ketiga-tiga parti itu bersetuju dengan pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai menteri besar baru, haluan Perikatan Nasional (PN) nampak jelas buat masa ini.
Azmi berkata persetujuan itu mengejutkan, tetapi juga membuktikan bagaimana PPBM dan Umno bersedia berkompromi kerana mereka “saling memerlukan secara politik”.
“Pemimpinnya sangat sedar bahawa silap langkah di Perak akan menimbulkan bencana, bukan hanya untuk PN Perak, tetapi juga di peringkat nasional. Ia tidak baik untuk Umno dan PPBM.
“Persetujuan PPBM, PAS dan Umno mengenai calon menteri besar menunjukkan PN di peringkat negeri dan persekutuan kritikal, tetapi ketiga-tiga entiti itu bersedia melakukan apa sahaja untuk mengekalkannya.”
Penganalisis lain, Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata, tidak pelik Saarani menjadi menteri besar yang baru kerana beliau seorang ahli politik kanan dan mempunyai sokongan akar umbi.
Namun, beliau mempersoalkan kelewatan PPBM dan PAS bersetuju dengan pencalonan Saarani, dan mengapa ketiga-tiga parti itu tidak membincangkan perkara tersebut terlebih dahulu.
“Apakah maknanya kekecohan ini? Sekiranya ini adalah hasilnya, maka ketiga-tiga parti sepatutnya boleh membincangkan masalah itu. Merancang agar bekas menteri besar mengundurkan diri, dan Saarani mengangkat sumpah jawatan,” katanya. “Ia akan menjadi lebih rapi dan tenang.”
Beliau berkata, ketiga-tiga parti itu mungkin akan bekerjasama untuk memastikan belanjawan tahunan diluluskan, tetapi konflik boleh timbul semula semasa perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.
Saarani, ADUN Kota Tampan, mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru semalam selepas timbalan presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu kalah dalam usul undi percaya di DUN minggu lepas.