Tuesday, October 8, 2024
HomeBREAKING NEWSPegawai, anggota polis disaran tidak main Tik Tok, cemar imej pasukan, kata...

Pegawai, anggota polis disaran tidak main Tik Tok, cemar imej pasukan, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata perbincangan mengenai isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis disaran untuk tidak bermain aplikasi media sosial Tik Tok ketika sedang bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perbuatan seperti menari di dalam aplikasi berkenaan tidak “manis” dilakukan oleh seseorang pegawai mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan uniform pasukan itu.

“Ia tidak manis dan tidak cocok apabila anggota atau pegawai dalam unit beruniform melakukan sesuatu perbuatan “menari” dan ini sepatutnya dijadikan satu kesalahan tatatertib seolah-olah mengaibkan uniform kita.

“Uniform berwarna biru ini merupakan uniform keramat maka ia tidak manis kalau kita pakai uniform ini dan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak cocok dengan budaya kerja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis di Bukit Aman.

Beliau berkata perbincangan mengenai isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya.

“Saya akan berbincang dengan Zamri bagi mengkaji perkara ini tentang baik dan buruknya, mungkin saya akan keluarkan satu arahan berhubung perkara ini,” katanya.

Pada Sabtu lepas, seorang anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berdepan tindakan tatatertib selepas memuat naik video seperti aksi tarian menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform operasi polis.

Berikutan itu, Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata perbuatan itu yang tular di media sosial menjejaskan imej jabatan dan kod etika pasukan polis.

Terdahulu, seramai lapan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur menerima surat penghargaan daripada Abdul Hamid kerana menolak wang sogokan semasa Op Dadu Firestorm yang dijalankan pada 15 Okt hingga 15 Nov lepas.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments