Tuesday, November 5, 2024
HomeBREAKING NEWSSultan Nazrin rai petugas media, zahir penghargaan

Sultan Nazrin rai petugas media, zahir penghargaan

Sultan Nazrin meraikan petugas media di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar hari ini.

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kira-kira 50 petugas media di Dewan Jubli Perak di sini sempena istiadat angkat sumpah menteri besar hari ini.

Sultan Nazrin yang tiba pada jam 3.40 petang meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanya khabar dan berbual mesra dengan petugas media dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

“Saya nampak kamu semua berhujan berpanas nak dapatkan berita, terima kasih semua, kerja baik-baik,” katanya ringkas.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin turut berkenan bergambar bersama warga media yang berada di Dewan Jubli Perak sejak jam 9 pagi.

Sejak krisis politik Perak bermula Jumaat lalu, petugas media dari pelbagai agensi mula berkampung di luar pekarangan Istana Kinta di Ipoh bagi mendapatkan maklumat terkini politik negeri.

Sultan Nazrin dalam ucapannya pagi tadi turut menzahirkan penghargaan atas usaha dan kerja keras petugas media dalam melaporkan perkembangan terkini krisis politik di negeri itu.

Baginda amat menghargai peranan pengamal media yang komited dalam menjalankan tugas bagi memberi maklumat kepada masyarakat.

“Beta amat menghargai petugas-petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan.

“Ini bagi melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melaporkan dan menyiarkan berita bertanggungjawab kepada rakyat yang mengikuti perkembangan yang sedang berlaku,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments