Sunday, October 6, 2024
HomeBREAKING NEWSPerhimpunan sosial punca kluster baru, KP Kesihatan minta patuh SOP

Perhimpunan sosial punca kluster baru, KP Kesihatan minta patuh SOP

Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan atau semasa berada di tempat awam, berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata ia termasuk perhimpunan besar-besaran melibatkan keluarga seperti majlis keraian dan upacara keagamaan yang turut dihadiri individu bergejala.

“Orang ramai diminta mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 kepada orang ramai.

“Amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan Covid-19. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa,” katanya.

Beliau memberi contoh kluster Enggor di Perak, serta kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga, seterusnya merebak dalam komuniti.

Noor Hisham berkata, kluster Inai dan Jambul di Sabah antara kluster berpunca daripada majlis keraian manakala kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster itu, masyarakat dinasihatkan akur dan patuh kepada nasihat diberikan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments