Monday, December 23, 2024
HomeBREAKING NEWSStatus rakyat Malaysia dipenjara di luar negara dibangkitkan di Dewan Rakyat

Status rakyat Malaysia dipenjara di luar negara dibangkitkan di Dewan Rakyat

Persidangan dewan hari ini diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa, melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Status terkini dan bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara serta usaha Kementerian Luar untuk membantu mereka yang terlibat, merupakan antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi soal jawab yang akan diajukan Richard Riot Jaem (GPS-Serian), kepada Menteri Luar berhubung perkara itu.

Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan dan tindakan yang telah diambil, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dan pengurusan perawatan pesakit-pesakit, yang semakin meruncing di Sabah.

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memperincikan usaha yang dilakukan untuk meneroka bidang baharu pekerjaan, seiring dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19 dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa, melibatkan dua lagi kementerian.

Dua kementerian tersebut ialah Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlangsung selama 10 hari sehingga 15 Dis ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Dis.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments