IPOH: Sebuah kilang memproses sarung tangan akan didakwa atas 10 pertuduhan dalam masa terdekat akibat gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446 dalam satu pemeriksaan Nov lalu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani, berkata pihaknya sudah menyiapkan 10 kertas siasatan dan pertuduhan terhadap kilang berkenaan dan ia sudah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan akhir.
“Perkara itu sedang dalam proses akhir untuk tindakan pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi di asrama pekerja sebuah kilang dekat Chemor hari ini.
Nov tahun lalu media melaporkan JTK mendapati satu daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat sarung tangan terkenal di kawasan perumahan Tasek melanggar Akta 446.
Kesalahan itu dikesan ketika operasi jabatan itu bersama JTK Perak dan Jabatan Kesihatan Perak yang mendapati tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti 12 orang dan ruang tamu dijadikan tempat tidur serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah yang menginap.
Sementara itu, dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan di asrama sebuah kilang hari ini, Muhamad Fauzi berkata kilang berkenaan juga gagal mematuhi peruntukan yang ditetapkan mengikut Akta 446 selain turut dikesan masih belum mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.
“Perkara itu adalah menjadi satu kesalahan yang jika sabit kesalahan majikan boleh didenda RM50,000 jika gagal mendapatkan perakuan penginapan.
“Kita lihat tadi keadaan asrama sangat mengerikan. Kalau ikut peruntukan undang-undang majikan perlu sediakan tandas, tempat masak dan yang bersesuaian, tetapi di kilang tadi terlalu kotor tak sepatutnya sediakan kemudahan yang sebegitu kepada pekerja.
“Ia boleh menyebabkan berlakunnya penularan wabak Covid-19 dan akan menyebabkan penularan menular dalam kalangan pekerja,” katanya.
Beliau berkata, tahun laku JTK hanya memberikan pendidikan kepada majikan dan meminta mereka memohon sijil penginapan daripada JTK, namun bermula tahun ini tindakan penguatkuasaan mula dilaksanakan.
Jika dalam operasi dan pemeriksaan yang dijalankan JTK majikan gagal menyediakan apa yang ditetapkan bawah undang-undang di asrama penginapan pekerja, kertas siasatan akan dibuka dan majikan akan dikenakan tindakan.