Sunday, October 6, 2024
HomeBREAKING NEWSTeh masala RM1 dijual wanita bersari di Seremban

Teh masala RM1 dijual wanita bersari di Seremban

Wanita bersari ini semakin menjadi tajuk bualan di Seremban, dengan teh masala panasnya yang laris dijual setiap hari.

SEREMBAN: Jam menunjukkan pukul 4 petang dan langit mendung membayangkan hujan menunggu masa untuk membasahi bandar Seremban.

Namun, selepas gerimis mulai turun orang ramai masih dilihat berhimpun di sekitar Gereja Visitation di Jalan Yam Tuan. Pintu pagarnya ditutup dan bukannya ada khutbah pada waktu petang sebegini, jadi apa sebenarnya yang menarik perhatian mereka?

Rupanya, kumpulan yang berbaris itu ingin menikmati secawan teh masalah panas.

Kelihatan seorang wanita bersari anggun, sabar melayan pelanggan setia yang datang mendapatkan teh panas, dijual dari bekas yang diletakkan di belakang basikalnya.

Penduduk Seremban menggelarnya ‘Miss Seremban Masala Tea’ (saudari teh masala Seremban), dan tidak kurang juga pengguna Internet memanggilnya ‘Tea Mami’ (mami teh).

Namanya Kalaasari, baru memulakan perniagaan teh kecilnya tahun ini, namun sudah semakin terkenal malah dicari-cari di jalanan Seremban.

Basikal menjadi pilihan kenderaan Kalaasari, dengan bekas berisi teh masala diletakkan di belakangnya.

Dahulu, dia bertugas sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah firma guaman selama kira-kira 20 tahun dan rezeki baharunya ini adalah sesuatu yang sangat berlainan dalam hidupnya.

Kalaasari mengakui sudah lama merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri, namun keadaan semakin mendesak susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia tahun ini.

“Ia membuatkan saya terfikir, memang inilah masa terbaik untuk memulakan perniagaan ini,” katanya.

Beliau menegaskan perniagaannya itu adalah usaha dan kehendaknya sendiri.

“Memang ia sepenuhnya keputusan saya. Persiapan juga saya yang lakukan sendiri. Ia inisiatif saya, idea saya.” katanya.

Tapi kenapa teh?

Mudah saja jawapannya. “Saya sendiri pencinta teh, jadi saya mahu melakukan sesuatu dengan minuman kegemaran ini.” ujarnya lagi.

Jelasnya, teh masala amat berbeza daripada teh biasa kerana menggunakan susu lembu segar selain ditambah rempah segar yang lazim digunakan dalam masakan kaum India.

Tehnya juga tidak menggunakan gula putih, sebaliknya dimaniskan dengan jageri iaitu gula kabung tradisional India.

Setiap hari Kalaasari sibuk melayan pelanggan, tidak kira yang tetap atau baharu, yang datang mencarinya hampir setiap masa menyebabkan dia langsung tidak boleh leka.

Teh masalah Kalaasari menggunakan rempah ratus India dan jageri.

Apa yang membuatkan orang ramai tetap datang mencarinya? Satu faktor utama pasti harganya yang begitu murah, iaitu cuma RM1.

Bagi kebanyakan golongan yang lebih berusia, ini pasti membawa mereka kembali ke era lama ketika seseorang mampu mengenyangkan perut dengan bayaran kurang RM5.

Namun, bukan kerana harga saja yang menarik pelanggan, tetapi kerana teh yang dihidangkan memang lazat dan memuaskan hati, dengan rasanya yang pekat namun cukup lemak ditambah pula sedikit rempah.

Menurut Kalaasari, teh masalah juga mempunyai pelbagai manfaat kesihatan malah, dilihat mampu membantu masalah angin, selsema dan demam.

Dia berkata, pada hari biasa dia mampu menjual sehingga 100 cawan teh dengan pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Baru-baru ini dia turut menambah jualannya dengan vadai yang berharga 50 sen setiap satu seterusnya menambah snek ringan untuk dijamah dengan teh panasnya.

Kalaasari hanya membuat 40 keping vadai setiap hari, dan selalunya semua akan laris dijual sebelum jam 4 petang.

Bukanlah mudah mencari rezeki sebegini. Setiap hari Kalaasari bangun pada jam 4 pagi untuk membuat persiapan terutama merebus teh.

Bukan mudah membancuh teh masala, namun Kalaasari tetap seronok melakukannya.

“Teh ini mengambil masa dua jam untuk direbus,” katanya sambil menjelaskan tempoh itu perlu untuk benar-benar mengeluarkan perisa teh berkenaan.

Beliau mula menjual tehnya di luar Pasar Besar Seremban dari jam 7 hingga 10 pagi, sebelum pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan membuat teh lagi bagi jualan petang.

Kalaasari sekadar ketawa apabila ditanya sama ada itu juga waktu rehatnya kerana sebenarnya tiada masa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, banyak perkara perlu dilakukan sebelum beliau sekali keluar untuk menjual teh dari jam 4 hingga 6.30 petang.

Kalaasari bersyukur, semakin ramai pelanggan mencarinya, malah tidak kurang juga yang bertanya sama ada beliau sanggup membuat katering.

Katanya, dia merebus beberapa bekas teh sehari kerana setiap bekas laris dijual hanya dalam masa sejam.

Ditanya kenapa memilih sari, jawapan Kalaasari – dia sukakan pakaian tradisional itu malah dipakainya setiap hari ke pejabat satu ketika dulu, lalu diteruskan sehingga kini walaupun sekadar menjual teh.

Tidak dinafikan, pilihan pakaiannya juga menjadi “pelaris” kerana sarinya jelas menarik perhatian, selain lebih memudahkan pelanggan mencarinya.

Pelanggan gembira menikmati secawan teh masala panas yang lazat.

Kenapa pilih basikal dan bukannya kedai biasa untuk meniagakan tehnya? Jawapannya mudah, iaitu lebih senang untuk orang ramai datang mencarinya.

Katanya, jika berniaga dari lot kedai, pelanggan perlu menghabiskan masa mencari tempat meletak kereta sebelum datang membuat pesanan. Sebaliknya, apabila menggunakan basikal, dia sendiri mudah bergerak seterusnya menjual tehnya dengan pantas.

Kalaasari langsung tidak terkesan dengan masa yang dihabiskan di bawah terik matahari atau hujan, kerana benar-benar seronok mencari rezeki dengan cara ini.

Antara perkara paling menggembirakannya adalah peluang menemui orang baru, berbanding bekerja di pejabat yang memaksanya hanya terkurung melakukan kerja yang sama setiap hari, malah tidak berjumpa sesiapa selain pekerja sepejabat.

“Saya suka berkenalan dengan orang baru. Kini, dalam sehari, pelbagai orang saya temui. Saya suka bergaul dengan semua orang, dan lebih penting lagi saya amat seronok bekerja begini.” katanya.

Disebabkan itu, Kalasaari mengaku tidak akan bersara buat masa ini, malah menggalakkan orang ramai mencabar diri dan keluar dari kepompong keselesaan.

“Beranikan diri. Jangan malu-malu,” nasihatnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments