Thursday, December 26, 2024
HomeBREAKING NEWSJangkitan kuman punca kematian kadet UPNM, kata pakar forensik

Jangkitan kuman punca kematian kadet UPNM, kata pakar forensik

Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata, kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain bukan 100% disebabkan kebakaran. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang pakar perunding forensik di sebuah hospital kerajaan merumuskan punca kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, disebabkan jangkitan kuman di paru-paru dan luka lecur utama “sequela”.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, 49, berkata demikian semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Zulfarhan.

Semasa disoal peguam M Ramachelvam, saksi pembelaan ke-19 itu berkata, kematian Zulfarhan bukan 100% disebabkan kebakaran, tetapi ada unsur jangkitan lebih awal, malah kehilangan permukaan kulit akibat kebakaran memburukkan lagi keadaan.

Ramachelvam: “Berdasarkan laporan bedah siasat, gambar dan pemeriksaan mikroskopik, boleh Dr Rohayu rumuskan punca kematian?”

Rohayu: “Nombor satu ialah ‘chest infection’ kerana wujudnya jangkitan kuman di paru-paru dengan komplikasi radang pada jantung. Nombor dua, saya letakkan sebagai “major burn sequela” kerana pada pengiraan saya juga 67% dikategorikan ‘major burn’.”

Beliau berkata, ini membuktikan sistem pertahanan badan si mati sudah lemah, ditambah pula “major burn” yang mengakibatkan keadaan mangsa, tidak dapat disangkal 100%.

Ramachelvam: “Itu adalah rumusan Dr Rohayu?”

Rohayu: “Ya, berdasarkan apa yang diberikan kepada saya.”

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh, iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 yang lain, iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman, dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di depan Hakim Azman Abdullah bersambung 12 Jan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments